Ronaldo Berdepan Pertuduhan Tipu Cukai

Diterbitkan: Selasa, 13 Jun 2017 9:07 PM

Cristiano Ronaldo

(Ubah saiz teks)

MADRID: Bintang bola sepak Cristiano Ronaldo pada Selasa berdepan tuntutan mahkamah yang difailkan oleh pejabat pendakwa Sepanyol di Madrid kerana didakwa menipu pihak berkuasa cukai negara itu sebanyak 14.7 juta euro antara 2011 dan 2014.

Pejabat pendakwa dalam satu kenyataan berkata pemain Real Madrid itu dengan sengaja telah menggunakan struktur perniagaan yang ditubuhkan pada 2010, didakwa untuk menyembunyikan pendapatan hak imejnya di Sepanyol.

Ini melibatkan kegagalan secara 'sukarela' untuk mematuhi kewajipan cukai di Sepanyol, demikian menurut kenyataan daripada bahagian jenayah ekonomi.

Empat pertuduhan penipuan cukai itu adalah berdasarkan laporan daripada agensi cukai Sepanyol.

Real enggan mengulas dan agensi yang mewakili Ronaldo, Gestifute, tidak menjawab panggilan.

Ronaldo, yang membawa Real menjuarai Liga Juara-Juara musim 2016/17 menjadi pemain terbaru dalam  senarai pemain bola sepak di Sepanyol yang dikaitkan dengan kes tipu cukai selepas ​​Lionel Messi dan Neymar.

Antara tahun 2005 dan 2010, pemain asing di Sepanyol kononnya telah dilindungi di bawah 'Beckham law' yang membolehkan mereka terlepas daripada membayar cukai.

Tetapi disebabkan krisis kewangan yang sedikit meruncing, pengecualian itu telah ditarik balik, membuka jalan untuk kes-kes tersebut dibawa ke mahkamah.

Pejabat pendakwa menyatakan bahawa Ronaldo telah menipu pihak berkuasa cukai sebanyak 1.4 juta euro pada 2011, 1.7 juta euro pada 2012, 3.2 juta euro pada 2013 dan 8.5 juta euro pada 2014.

Ronaldo, yang berasal dari Portugal, perlu membayar cukai pemastautin Sepanyol pada Januari 2010 dan pada November 2011 apabila memilih untuk mematuhi rejim cukai Sepanyol yang dikenakan ke atas warga asing yang bekerja di Sepanyol, kata kenyataan itu.

Dia sepatutnya membayar kadar cukai sebanyak 24 peratus pada tahun 2011, dan 24.75 peratus dalam tempoh tiga tahun yang berikutnya.

Pendakwa berkata selepas Ronaldo menandatangani kontrak untuk menyertai Real pada Disember 2008 dia telah menyerahkan hak imejnya kepada sebuah syarikat bernama Tollin Associates Ltd, di Kepulauan British Virgin, yang mana dia adalah satu-satunya pihak berkepentingan.

Tollin Associates kemudian menyerahkan hak imej kepada sebuah syarikat di Ireland, Multisports & Image Management Ltd yang bertanggungjawab untuk menguruskannya. Tollin Associates sendiri tidak mempunyai aktiviti perniagaan, kata kenyataan itu.

"Penyerahan hak imej kepada Tollin Associates benar-benar tidak perlu dan ia hanya bertujuan untuk mengaburi keseluruhan pendapatan hak imej dari pihak berkuasa cukai Sepanyol," kata kenyataan itu.

Tags / Kata Kunci: Cristiano Ronaldo , tipu cukai

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan