PDRM Pilih Pemain Negara Jiran Sebagai Import

Diterbitkan: Selasa, 13 Jun 2017 10:02 AM

Fauzi

(Ubah saiz teks)

KETIKA kebanyakan pasukan Liga Malaysia mencari pemain dari benua Amerika Selatan, Eropah dan Afrika, lain pula yang dibuat PDRM apabila mengambil keputusan untuk mengikat pemain tengah Singapura, Yasir Hanapi (gambar bawah).

Kedatangan bekas pemain Tampines Rovers ini secara tidak langsung menemani seorang lagi rakannya dari Singapura merangkap Ketua Pasukan, Safuwan Baharudin.

Ditanya penjelasan ketua jurulatih, Fauzi Pilus mengapa Yasir jadi pilihan PDRM untuk gantikan import dari Ivory Coast, Frederic Pooda, dia ada alasan tersendiri.

"Kami dah tiada masa untuk menguji pemain import yang kami tidak kenal kerana hanya sembilan perlawanan sahaja lagi untuk ditempuh.

"Yasir memikat pengurusan PDRM pada aksi Piala Sultan Selangor bulan lalu dan kami tidak fikir panjang untuk senaraikannya.

"Selain itu, persefahaman dengan Safuwan juga jadi punca utama kerana mereka berdua sudah kenali corak permainan satu sama lain.

"Yasir akan pikul watak utama di barisan tengah dan dia juga boleh bermain di posisi sayap kanan," katanya.

Pemain berusia 27 tahun itu merupakan salah seorang pemain terbaik dalam saingan Liga Singapura buat masa ini bersama Tampines Rovers.

Dalam 25 penampilan musim ini, dia telah menjaringkan lima gol bersama Tampines serta turut beraksi di pentas Piala AFC 2017.

Tahun 2017 menjadi detik mengecewakan PDRM setakat ini selepas melalui kegemilangan berjaya ke separuh akhir Piala Malaysia  dan suku akhir Piala FA musim lalu.

Tersingkir daripada persaingan Piala Malaysia, kini satu-satunya peluang buat PDRM ialah memburu kembali slot dua pasukan ke Liga Super 2018.

Perjuangan itu tampak belum mustahil kerana mereka hanya dibezakan tujuh mata di belakang Terengganu yang berada di tangga kedua manakala pendahulu, Negeri Sembilan unggul dengan 29 mata.

Tags / Kata Kunci: PDRM , Singapura

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan