T-Team Sambar Tiga Muka Baharu

Diterbitkan: Rabu, 7 Jun 2017 4:50 PM

Mohd Asrol kembali menyarung jersi T-Team.

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: T-Team sambar tiga muka baharu bagi memperkuat jentera tengah pasukan sekali gus melengkapkan jendela perpindahan kali ini.

Tiga pemain tempatan yang bakal mengukuhkan pasukan ialah bekas pemain Terengganu Mohd Asrol Ibrahim yang kembali membuat 'pusingan U' selepas enam bulan menabur bakti bersama skuad penyu.

Selain itu,  bekas  ketua pasukan MISC-MIFA, Ooi Shee Keong, 26, dan pemain sayap Melaka United, Syed Sobri Syed Muhammad, 23, turut bersetuju untuk menyarung jersi pasukan T-Team.

Ketiga-tiga pemain itu menandatangani kontrak setahun bersama T-Team hari ini dengan  disaksikan pengurus pasukan, Datuk Mohamad Kamil Othman.

Mohd Kamil berkata kehadiran muka baharu itu diharap dapat menyuntik semangat dan mengukuhkan lagi pasukan dalam merebut kedudukan terbaik pada musim ini.

Beliau yakin dengan kebolehan ketiga-tiga pemain tersebut berdasarkan pengalaman yang ada dan kesemua mereka juga bebas daripada sebarang kecederaan.

"Sekarang ini kami perlu bekerja keras untuk memastikan pasukan berada dalam kedudukan terbaik dan saya harap ketiga-tiga mereka dapat memberikan komitmen seterusnya merealisasikan impian pasukan.

"Saya difahamkan perpindahan ini tidak melibatkan pemain lama  hanya membabitkan pemain dari Piala Presiden T-Team yang tidak mencapai tahap yang ditetapkan dan terpaksa digugurkan daripada pasukan," katanya.

Mengulas berhubung pengambilan pemain tempatan untuk mengukuhkan pasukan berbanding pemain import yang menjadi sasaran pasukan lain, Mohd Kamil berkata kekangan kewangan dan beberapa faktor lain menyebabkan T-Team memilih pemain tempatan.

Sementara itu Asrol berkata keputusannya untuk bersama T-Team dibuat ekoran kedudukannya sebelum ini yang hanya banyak memanaskan bangku simpanan dan situasi itu mendorong kepulangannya ke Liga Super dengan tekad merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad kendalian Rahmad Darmawan.

"Saya akan bekerja keras bersama rakan-rakan lain untuk merebut tempat dalam pasukan sekali gus mengembalikan kepercayaan ketua jurulatih," katanya.

Tags / Kata Kunci: Mohd Asrol Ibrahim , T-Team

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan