Lambaian Terakhir Wayne Rooney

Diterbitkan: Isnin, 5 Jun 2017 12:37 PM

(Ubah saiz teks)

MASA depan Wayne Rooney bersama Manchester United nampaknya sudah sampai ke penghujung apabila dilihat memberi lambaian terakhir kepada penyokong Red Devils.

Pemain berusia 31 tahun itu dilihat berbuat demikian ketika menuju ke terowong selepas tamat perlawanan testimonial rakan sepasukan, Michael Carrick pada Ahad.

Rooney sempat berhenti seketika sebelum memasuki terowong berkenaan dan melambai kepada peminat di seluruh stadium.

Malah dia juga memandang sekeliling stadium seolah-olah mahu menikmati suasana terakhir di Old Trafford selepas menabur bakti selama 13 tahun di Manchester.

Lambaiannya itu mengingatkan semula pemergian rakan sepasukan, Rio Ferdinand, Ryan Giggs, Paul Scholes, Patrice Evra, Nemanja Vidic dan beberapa pemain lain yang menjuarai Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris pada 2008.

Masa depannya bersama United menjadi tanda tanya sejak awal musim ini apabila sering dipinggirkan oleh Jose Mourinho kerana gagal mempamerkan aksi yang cemerlang selain digugurkan daripada skuad England baru-baru ini.

Malah segelintir penyokong juga hilang sabar dengan mutu permainan Rooney yang semakin tenggelam dengan kehadiran bakat-bakat baharu di United.

Everton dan Stoke City antara kelab yang dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat Rooney tetapi soal tawaran gaji mungkin menjadi penghalang kerana penyerang England itu menerima bayaran 250,000 pound sterling seminggu di United. - Mirror

Tags / Kata Kunci: Wayne Rooney

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan