Liga Juara-Juara: Siapa Bakal Catat Rekod?

Diterbitkan: Sabtu, 3 Jun 2017 8:01 AM

(Ubah saiz teks)

REAL Madrid dan Juventus akan berdepan dalam perlawanan final Liga Juara-Juara yang bakal berlangsung di Stadium Millenium, Cardiff.

Kedua-dua kelab ini bakal mencatat rekod jika berjaya meraih gelaran juara dalam perlawanan itu nanti.

Juventus tampil dalam perlawanan final untuk kali kesembilan.

Daripada lapan perlawanan sebelum ini, kelab ini hanya berjaya menjadi juara sebanyak dua kali, iaitu pada 1985 dan 1996.

Ketika dua penampilan terakhirnya di final, Juventus menelan kekalahan kepada AC Milan pada 2003 dan Barcelona pada 2015.

Justeru, Juventus diramal akan berjuang habis-habisan dalam perlawanan kali ini.

Peluang ini juga mahu digunakan Juventus dalam usaha meraih tiga gelaran dalam satu musim. Jika mampu melakukannya, Juventus akan menjadi kelab kedua dari Itali yang mampu meraih treble selepas Inter Milan melakukannya pada 2010.

"Kami telah bekerja keras selama semusim untuk mencapai tahap ini. Perlawanan nanti tidak mudah kerana Real Madrid adalah juara bertahan. Namun kami sudah bersedia untuk bertarung dengan Real Madrid," kata Massimiliano Allegri.

"Semua kemenangan dan trofi yang sudah kita raih pada musim ini akan disimpulkan melalui keputusan pertandingan nanti. Kami wajib menang. Kami harus tampil tanpa beban dan yakin bahawa kami akan meraih gelaran.

"Pada 2015 kami ke final, namun motivasi kami tidak terlalu kuat. Kami kurang keyakinan setelah tampil kurang baik di Liga Juara-Juara musim sebelumnya. Namun pada kali ini, keadaanya berbeza. Kami telah jauh berkembang dari musim ke musim," katanya.

Sementara itu, Real Madrid juga sedang berada dalam situasi positif setelah meraih gelaran La Liga musim 2016/17. Gelaran itu adalah gelaran pertama mereka sejak kali terakhir meraihnnya pada 2011/12.

Dalam perlawanan itu, Real akan berusaha menjadi kelab pertama yang mampu mempertahankan gelaran juara dalam dua musim berturut-turut di saingan Liga Juara-Juara.

Zinedine Zidane berkata kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang sama.

"Kami sentiasa bermotivasi untuk meraih gelaran di La Liga dan Liga Juara-Juara. Yang penting kami benar-benar sudah bersedia.

"Saya telah menelan banyak kekalahan, jadi saya tahu bahawa kami mungkin kalah pada perlawanan nanti. Sama juga dengan Juventus," kata Zidane.

"Real Madrid sering berdepan tekanan. Kami selalu dianggap pasukan pilihan untuk meraih gelaran juara.

"Hakikatnya tidak ada pasukan favorite dalam sebuah perlawanan final. Ini adalah pertandingan 50-50," katanya.

Sepanjang sejarah pertemuan, Juventus dan Real telah berdepan sebanyak 18 kali.

Real unggul dengan sembilan kemenangan, manakala Juventus menang tujuh kali.

Pertemuan terakhir mereka adalah pada babak separuh akhir Liga Juara-Juara 2014/15.

Ketika itu Juventus menyingkirkan Real dengan agregat 3-2.

Tags / Kata Kunci: Liga Juara-Juara

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan