Tunggu Sahajalah

Diterbitkan: Jumaat, 2 Jun 2017 3:23 PM

Frank Bernhardt.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Isu pemecatan bekas jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Frank Bernhardt nampaknya akan berlarutan.

Ini susulan laporan media tempatan bahawa jurulatih berusia 47 tahun itu masih belum menerima tunggakan gaji atau bayaran pampasan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas dipecat pada 25 Mac lalu.

Ketika pemecatan dilakukan, Bernhardt sedang menjalankan tugas dengan skuad projek Sukan SEA di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pada 31 Mac lalu, FAM memaklumkan isu tersebut akan diselesaikan segera.

Namun sehingga hari ini, badan induk bola sepak negara itu masih lagi berteki-teki mengenainya.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika dihubungi mStar Online sekadar memberitahu satu kenyataan media mengenai isu itu akan dikeluarkan kemudian.

"Nanti kita akan keluarkan press release bila tiba waktunya," kata Hamidin ringkas.

Pada dasarnya, apabila seorang jurulatih dipecat sedangkan masih terikat dengan kontrak, pampasan yang diberikan berjumlah baki kontrak sedia ada.

Namun kedua-dua pihak berbincang mengenai jumlah pampasan mengikut persetujuan bersama.

Bernhardt dipercayai menerima gaji RM70,000 sebulan dan FAM harus membayar pampasan hampir RM700,000 berdasarkan baki kontraknya.

Difahamkan FAM hanya menawarkan bayaran pampasan tiga bulan gaji terhadap Bernhardt.

Pengendali kelahiran Jerman itu turut mendakwa beliau tidak teragak-agak membawa kes tersebut kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya tiada jalan penyelesaian dipersetujui bersama.

Tags / Kata Kunci: Frank Bernhardt , FAM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan