'Kafa Tak Serius'

Diterbitkan: Khamis, 1 Jun 2017 3:25 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) disifatkan tidak serius dalam menyelesaikan kemelut yang membadai skuad The Red Warriors (TRW) musim ini.

Terbaharu Kafa didakwa menghantar surat rayuan berhubung isu pemotongan enam mata ekoran kegagalan melengkapkan proses pendaftaran selepas tarikh rayuan ditutup.

Ketua Pegawai Eksekutif Usahasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP), Kevin Ramalingam berkata surat rayuan daripada pasukan Kelantan baharu sahaja diterima tiga hari lalu.

Malah Kevin turut mempertikaikan kelewatan penghantaran surat rayuan itu yang sepatutnya boleh dihantar lebih awal sama seperti pasukan lain yang dikenakan hukuman sama.

"Mereka baharu sahaja hantar surat rayuan pada 29 Mei lalu. Itulah saya cakap kalau benda itu mereka ambil serius, kenapa tak merayu awal bulan lalu.

"Bila timbul isu baharulah nak hantar surat rayuan. Rayuan dah ditutup dan pasukan lain semua dah ada keputusan rayuan baharu mereka nak hantar.

"Kalau betul perkara itu diambil serius, mereka takkan buat seperti apa yang mereka buat sekarang," kata Kevin.

Bagaimanapun, Kevin meluahkan rasa kecewa kerana Kafa lebih berminat untuk menyalahkan peraturan yang ditetapkan FMLLP yang mereka dakwa satu cara untuk menghukum dan mencacatkan pasukan Kelantan.

"Ini semua tak benar. Peraturan sama wujud untuk semua pasukan, kalau pasukan lain boleh buat kenapa Kelantan tak boleh," soal Kevin.

Mengulas mengenai keputusan rayuan itu, Kevin berkata beliau akan meneliti surat tersebut terlebih dahulu sebelum memberikan sebarang komen.

"Sepatutnya surat rayuan dihantar dalam tempoh 14 hari selepas hukuman dikenakan. Saya akan teliti satu persatu, lepas itu baharu saya akan komen," katanya.

Selain Kelantan, pasukan T-Team dan dua pasukan Liga Perdana, Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikenakan hukuman pemotongan enam mata berkuat kuasa serta merta ekoran kegagalan melengkapkan pengesahan penyertaan pertandingan liga berkenaan yang berakhir pada Disember 2016.

Namun, FMLLP menerima rayuan Perlis dan T-Team dengan hukuman pemotongan enam mata dikurangkan kepada tiga mata selain larangan perpindahan pemain pada jendela perpindahan kedua turut ditarik semula.

Nasib berbeza dialami ATM apabila rayuan mereka masih dalam pertimbangan dan memerlukan siasatan lanjut sebelum keputusan akhir dibuat.

"Kita akan maklumkan secepat mungkin. Masih menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa," kata Kevin.

Tags / Kata Kunci: Kafa , FMLLP

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan