Jangan Bandingkan Saya Dengan Ghaddar - Bako

Diterbitkan: Selasa, 23 Mei 2017 9:48 AM

(Ubah saiz teks)

PENYERANG import baharu Kelantan, Abou Bakr Al-Mel tidak mahu dibayangi kehebatan rakannya yang merupakan bekas penggempur berbisa pasukan itu, Mohammed Ghaddar.

Abou Bakr atau dikenali dengan Bako berkata, dia juga berharap penyokong The Red Warriors (TRW) tidak membuat perbandingan dengan penjaring terbanyak Liga Super itu.  

“Ghaddar adalah rakan baik saya dalam skuad kebangsaan Lubnan dan dia juga merupakan idola saya setelah mencipta nama bermain di sini (Liga-Malaysia). 

“Tetapi gaya permainan Ghaddar dan saya pasti berbeza. Saya harap penyokong tak membandingkan kami.

"Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pemain berusia 24 tahun itu, menyertai skuad pantai timur pada jendela perpindahan pertengahan musim menggantikan Mohammed Ghaddar yang berhijrah ke Johor Darul Ta’zim (JDT), baru-baru ini.

Penjaring terbanyak Liga Perdana Lubnan itu memberitahu, dia sudah bersedia buat penampilan pertama bersama Kelantan apabila bertemu Pulau Pinang pada saingan Liga Super di Kota Bharu, malam Rabu.

Malah Abou Bakr menjelaskan, dia tidak mahu menunggu terlalu lama untuk mencetak nama selaku penjaring gol dan menanam keazaman tinggi berbuat demikian pada pertemuan menentang skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu.

“Ya, sudah pasti saya mahu bermain dan menyumbang gol buat pasukan. Saya tahu, penyokong Kelantan mungkin tidak sabar nak lihat aksi saya, Insya-ALLAH saya harap dapat menjaringkan gol, Rabu ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Ismail Md Noor berkata, pihaknya sedang menguruskan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) bagi membolehkan Abou Bakr diturunkan pada pertemuan itu.

“Pagi ini (Isnin), Kafa mendapat maklum balas daripada Lubnan FA (Persatuan Bola Sepak Lubnan) dan kita juga dah hubungi FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan meminta mereka berhubung dengan Lubnan FA.

“Kita yakin FAM dapat bantu selesaikan urusan ini dengan segera sekali gus membolehkan pemain itu beraksi buat pertama kali bersama Kelantan bertemu Pulau Pinang, nanti,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan