Final Piala FA: Kedah Miliki Kelebihan - Bola Sepak | mStar

Final Piala FA: Kedah Miliki Kelebihan

Diterbitkan: Isnin, 15 Mei 2017 6:32 PM

Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar

(Ubah saiz teks)

IPOH: Kedah yang akan berdepan Pahang dalam perlawanan akhir Piala FA 2017 pada 20 Mei ini, dilihat mempunyai kelebihan untuk merangkul kejuaraan itu berdasarkan kualiti permainan serta perancangan taktikal lebih tersusun pasukan berkenaan.

Bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata dua faktor itu memberi kelebihan kepada skuad Helang Merah, lebih-lebih lagi pasukan itu kini berada pada prestasi terbaik dalam saingan Liga Super.

“Bagaimanapun setiap pemain Kedah tidak boleh menjadikan kelebihan itu sebagai jaminan memandangkan Pahang memiliki skuad yang berpengalaman dan pernah menjuarai Piala FA dua kali pada 2006 dan 2014.

"Pasukan yang kurang melakukan kesilapan akan keluar sebagai pemenang dan saya yakin kedua-dua pasukan akan mempamerkan permainan berkualiti dalam aksi di Stadium Shah Alam nanti," katanya ketika ditemui Bernama di Kelab Diraja Ipoh pada Isnin.

Raja Ahmad Zainuddin yang juga bekas Pengurus Pasukan Perak pada era 90-an turut menasihatkan penyokong kedua-dua pasukan supaya menjaga tingkah laku dan tidak mencetuskan sebarang provokasi.

“Saya percaya puluhan ribu penonton akan membanjiri Stadium Shah Alam untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka berjuang bagi merangkul kejuaraan tersebut.

“Penyokong  dari Kedah atau Pahang yang nak ke Shah Alam perlu berhati-hati di jalan raya dan kalau boleh pergi awal bagi mengelak kesesakan lalu lintas," katanya.

Sabtu lepas, pasukan Kedah di bawah bimbingan Nidzam Adzha Yusoff mara ke pentas akhir dengan agregat 4-0 selepas menewaskan Terengganu 3-0 dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pahang yang dikemudi jurulatih, Dollah Salleh pula melangkah ke perlawanan akhir dengan agregat 3-1 selepas menang tipis 2-1 ke atas Negeri Sembilan dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Kedah , Akhir Piala FA , Pahang
   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan