Siapa 'The Professor' Ketua Jurulatih Harimau Malaya?

Diterbitkan: Isnin, 15 Mei 2017 12:10 PM

(Ubah saiz teks)

DIKEMASKINI TERMASUK BIODATA

PETALING JAYA: Teka-teki siapa bakal menggalas tugas ketua jurulatih Harimau Malaya akhirnya terjawab apabila jurulatih kelahiran Portugal dilantik untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak kebangsaan.

Menurut kenyataan rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Isnin, Eduardo Manuel Martinho Braganza de Vingada atau lebih dikenali sebagai Nelo Vingada yang mengikat kontrak selama dua tahun, akan melaksanakan tugas pertama untuk mengemudi Malaysia menentang Korea Utara di Pyongyang pada 8 Jun depan.

Kemudian, Vengada akan mengambil-alih tugas pengurusan skuad bola sepak negara di tanah air untuk menentang Lebanon di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos di Johor selang lima hari kemudian.

Digelar sebagai 'The Professor' kerana kaedah pengurusannya yang bijak dan amat dikenali atas gaya kejurulatihan yang baik selain sikap tegas dan dominan terhadap pemain memikat FAM untuk melantiknya menggalas tanggungjawab besar itu.

Mengulas tentang pelantikan tersebut, Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, jurulatih yang membimbing Harimau Malaya perlu memainkan peranan sebagai seorang guru yang mendidik pemain kebangsaan.

Sambil mengambil kira pengalaman dan usia Vengada, Tunku Ismail menyuarakan keyakinan bahawa jurulatih kelahiran Portugal itu mampu membantu pasukan kebangsaan meraih kejayaan.

"Kerjaya beliau bersama beberapa pasukan kebangsaan iaitu dalam pasukan belia dan skuad utama selain dan beberapa kelab yang telah beliau latih menunjukkan pengalaman beliau yang sangat banyak dalam etika kerjanya.

"Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan Vengada dan, kami berharap boleh bekerja bersama Vengada, dan harapnya, menemui kejayaan baharu," katanya.

Sementara itu, Vingada turut menyuarakan rasa terima kasih beliau kepada Tunku Ismail atas pelantikan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana telah menghubungi saya dan kemudian bertemu dengan saya di Johor baru-baru ini.

"Pelantikan ini merupakan satu penghormatan untuk melatih pasukan kebangsaan Malaysia. Ada banyak kerja yang perlu dilakukan dan saya tidak sabar untuk memulakannya," katanya.

Vingada akan tiba di Malaysia pada 25 Mei untuk memulakan tugasannya secara rasmi sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia dan memulakan kerjasama dengan para pemain.

Berikut adalah biodata dan pengalaman The Professor dalam dunia kejurulatihan:

NAMA: Eduardo Manuel Martinho Braganza de Vingada (Nelo Vengada)

GELARAN: The Professor

USIA: 64 Tahun (30 Mac 1953)

Pengalaman pebagai pemain:

1964–1974 - Atlético CP 

1974–1975 - Sintrense 

1975–1979 - Belenenses

Pengalaman sebagai jurulatih:

1981–1982 - Belenenses

1982–1983 - Académica de Coimbra

1983–1984 - Sintrense

1984–1986 - Vilafranquense

1988–1991 - Portugal U-20 (pembantu)

1993–1994 - Portugal

1994–1995 - Portugal U-20

1995–1996 - Portugal Olympic

1996–1997 - Arab Saudi

1997–1998 - Benfica (pengurus)

1999–2003 - Marítimo

2003–2004 - El Zamalek

2004–2005 - Egypt Olympic

2005–2006 - Académica de Coimbra

2007  - Wydad Casablanca

2007–2009 - Jordan

2009      - Persepolis

2009      - Vitoria

2010      - FC Seoul

2011–2012 - Dalian Shide

2013–2014 - Iran (pembantu)

2014      - Iran Olympic

2016  - Marítimo

2016–2017 - NorthEast United

2017      - Harimau Malaya

Ringkasan pengalaman Nelo Vingada

- Nama Vengada dalam bidang kejurulatihan mula bersinar ketika bergelar  pembantu jurulatih Carlos Queiroz untuk pasukan Portugal bawah 20 tahun apabila gandingan mereka berdua berjaya menjulang skuad Portugal menjulang Piala Dunia FIFA Bawah 20 Tahun pada 1989 dan 1991.

- Selepas menyambung kejayaan Queiroz sebagai ketua jurulatih, Vingada konsisten membawa pasukan Portugal Bawah-20 mara ke separuh akhir acara utama seperti Piala Dunia FIFA Bawah-20 pada tahun 1995 dan Sukan Olimpik pada tahun 1996.

- Vingada, yang telah melibatkan diri dalam kerjaya sebagai pengurus melebihi 35 tahun serta masih aktif merupakan seorang tokoh yang popular di rantau Asia. 

- Beliau menjadi jurulatih untuk pasukan senior Arab Saudi (1996-1997), pasukan Olimpik Mesir (2004-05), pasukan kebangsaan Jordan (2007-09), dan skuad Olimpik Iran (2014).


Tags / Kata Kunci: Harimau Malaya , Nelo Vingada

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan