Bukan Kuasa KBS - KJ

Diterbitkan: Khamis, 11 Mei 2017 4:33 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Keputusan sama ada Malaysia akan terus menghantar pasukan bola sepak kebangsaan ke Pyongyang atau tidak akan diketahui dalam tempoh terdekat, jelas  Khairy Jamaluddin.

Menurut Menteri Belia dan Sukan itu, pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk memberi nasihat kepada pasukan negara atau melarang rakyat Malaysia pergi ke mana-mana negara.

"Keputusan nasihat perjalanan ke luar negara adalah bidang kuasa Wisma Putra. Dan kami belum lagi berbincang dengan Kementerian Luar.

"Tetapi memandangkan kenyataan yang dikeluarkan Presiden FAM (Presiden Bola Sepak Malaysia) (Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim) pagi tadi, kami telah meminta Wisma Putra melihat keadaaan di Korea Utara dan memaklumkan kepada saya.

"Saya sudah berhubung dengan menteri luar dan keputusan akan dibuat secepat mungkin," jelasnya selepas sidang media penajaan Sukan SEA 2017 pada Khamis.

Menurut Khairy, sebarang keputusan yang dibuat akan mengambil kira hubungan dua hala.

"Keputusan penasihat perjalanan adalah berat dan hanya Wisma Putra sahaja yang boleh memutuskannya.

"Jika pihak kami yang buat keputusan dan dilihat tidak wajar ia boleh menjejaskan hubungan kita yang sedang dipulihkan.

"Namun setakat ini masih belum ada keputusan rasmi. Cuma kerajaan perlu fikir perkara tersebut sebaik-baiknya.

"Sudah tentu kita tidak akan kompromi keselamatan rakyat, termasuk pemain-pemain kita," jelasnya.

Sebelum ini, Tunku Ismail atau TMJ membantah perlawanan pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2019 Kumpulan B antara Malaysia dan Korea Utara diadakan di Pyongyang pada 8 Jun depan.

Walaupun isu keselamatan pemain tetap jadi keutamaan, TMJ turut prihatin dengan beberapa kemungkinan yang bakal menimpa Harimau Malaya jika FAM tidak melepaskan mereka ke Pyongyang.

"Apa-apa pun saya sebagai Presiden FAM tidak setuju sama sekali untuk kami pergi ke Korea Utara tetapi keputusan tersebut terletak pada kerajaan dan Menteri Sukan. Bagi saya keutamaan adalah keselamatan rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tags / Kata Kunci: Khairy Jamaluddin , FAM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan