Tidak Kekal Disiplin Punca Tewas - Zainal

Diterbitkan: Isnin, 8 Mei 2017 1:08 PM

Zainal Abidin Hassan.

(Ubah saiz teks)

BATU KAWAN: Gagal menerapkan disiplin hingga ke akhir perlawanan semasa menentang Felda United dalam saingan Liga Super di Stadium Negeri di sini malam Ahad, punca pasukan Pulau Pinang tewas sejurus sebelum wisel penamat ditiupkan.

Ketua jurulatih Pulau Pinang, Zainal Abidin Hassan berkata beliau sangat kecewa kerana sekiranya rentak permainan yang berdisiplin dapat dikekalkan, pasukan Harimau Kumbang sekurang-kurangnya berjaya mengutip satu mata.

"Minggu depan beberapa pemain import dari Afrika, Amerika Selatan dan Australia akan tiba untuk diuji.

"Kami berharap akan ada keputusan positif dan Pulau Pinang segera bangkit untuk menentang Kelantan pada 24 Mei nanti," katanya.

Dalam perlawanan itu, pasukan Pulau Pinang berputih mata apabila jaringan Nor Shahrul Idlan Talaha pada minit terakhir perlawanan membantu Felda United mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas pasukan tercorot Liga Super itu.

Skuad ''The Fighters'' terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain import dari Argentina, Lucas Matias Cano pada minit ke-16 sebelum skuad Harimau Kumbang berjaya menyamakan kedudukan menerusi penyerang import dari Papua New Guinea, Nigel Dabinyaba pada minit ke-54.

Sementara itu Ketua Jurulatih Felda United, B.Sathianathan menyifatkan kemenangan pasukannya ada "nasib baik" kerana pasukan Pulau Pinang memberi tekanan yang agak kuat.

Beliau berkata pasukannya jelas kelihatan hilang fokus setelah Pulau Pinang menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua, namun nasib menyebelahi mereka apabila berjaya menghasilkan gol pada saat akhir.

Katanya beliau masih belum berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan pasukannya dan memerlukan pemain yang lebih berkualiti termasuk import.

"Kami berharap Felda United berada di tangga keempat teratas pada musim ini," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Pulau Pinang , Zainal Abidin Hassan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan