Mora Yakin JDT Kekal Juara

Diterbitkan: Ahad, 7 Mei 2017 9:11 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) Benjamin Mora yakin skuad Southern Tigers itu akan dapat mengekalkan gelaran juara Liga Super, walaupun sekadar mampu seri 1-1 dengan Melaka United pada perlawanan di gelanggang lawan Sabtu malam.

Katanya para pemain JDT akan berjuang habis-habisan dalam baki 10 perlawanan akan datang untuk memastikan pesaing bagi gelaran juara tidak dapat merapati kedudukan mereka.

JDT, yang menjulang piala juara Liga Super tiga tahun berturut-turut sejak 2014, masih menduduki tempat teratas dengan 27 mata, diikuti Pahang dan Kedah, yang masing-masing meraih 21 dan 20 mata setelah selesai 12 perlawanan.

"Kami akan terus memperkukuhkan pasukan kami dalam usaha meraih gelaran juara bagi kali keempat berturut-turut. Kami berada dalam kedudukan baik,” kata Mora, yang dipetik sebagai berkata dalam catatan terbaru Facebook JDT, The Southern Tigers.

"Kami berada di tangga teratas liga dengan kelebihan 6 mata, maknanya dua permainan. Bagaimanapun, kami tidak boleh berasa selesa. Kami tidak akan berhenti berjuang. Kami akan terus pertingkatkan kelebihan, kemahiran dan terus berjuang,” tambah jurulatih Mexico berusia 37 tahun itu.

Mengenai keputusan seri dengan Melaka United, Mora berkata beliau tidak mahu menyalahkan mana-mana pemainnya, termasuk pemain pertahanan tengah, Dominic Tan yang didakwa memberi ruang kepada penyerang Melaka United, Jeon Woo-Young untuk menjaringkan gol penyamaan dalam perlawanan di Stadium Hang Jebat itu.

JDT mendahului kedudukan hasil jaringan gol melalui sepakan bebas Safiq Rahim pada minit ke-59, sebelum pemain dari Korea Selatan itu menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-87.

"Saya rasa itu bukan kesilapan Dominic. Anda boleh buat analisis tentang kesemua gol , yang berpunca daripada gerakan kami yang tidak kemas. saya tidak menyalahkan sesiapa. Saya perlu tonton balik videonya dan selepas itu, barulah boleh ditetapkan perkara yang perlu dilakukan sebagai penambahbaikan.

"Bagaimanapun, bagi saya, Dominic adalah pemain hebat dan mempunyai prospek besar untuk JDT. Dia telah bermain dengan cemerlang," kata Mora. -Bernama

Tags / Kata Kunci: JDT , Liga Super

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan