Piala AFC: Misi Wajib Menang JDT

Diterbitkan: Selasa, 2 Mei 2017 8:58 PM

Foto: Facebook Johor Southern Tigers.

(Ubah saiz teks)

JOHOR BAHRU: Misi wajib menang - itu sasaran utama pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi terakhir Kumpulan F Piala AFC menentang kelab Myanmar, Magwe FC untuk melayakkan diri ke separuh akhir peringkat Zon Asean.

Penolong jurulatih JDT, Ismail Ibrahim berkata pasukan Harimau Selatan tidak mempunyai pilihan lain selain perlu mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan tersebut​​​​​ untuk terus bersaing dalam kempen Piala AFC.

Beliau  berkata, JDT yang muncul juara Piala AFC 2015,  akan  membariskan skuad terbaik apabila menentang kelab dari Myanmar itu biarpun beberapa pemain tidak dapat diturunkan ekoran belum  cergas sepenuhnya dan berdepan penggantungan.

“Buat masa ini, Gonzalo Cabrera belum pasti dapat diturunkan kerana tidak mencapai tahap kecergasan sepenuhnya manakala Fadhli Shas pula masih dibelenggu kecederaan sementara Safawi Rasid menjalani penggantungan satu perlawanan," katanya kepada pemberita menjelang perlawanan menentang kelab berkenaan di Stadium Larkin malamRabu.

Menyifatkan ia satu perlawanan begitu penting, Ismail berkata sedikit sebanyak kekuatan pasukan lawan dapat dikenal pasti berdasarkan kepada perlawanan sebelum ini yang berkesudahan kedua-dua pasukan seri 1-1.

"Mereka gemar melakukan hantaran jauh dan bertindak pantas menghukum kesilapan lawan dengan melancarkan serangan balas terutamanya pada minit-minit akhir, jadi apa yang kita perlu lakukan adalah sentiasa fokus,” kata Ismail.

Beliau seterusnya berkata pada pertemuan kali ini, barisan pemain sudah bersedia dari segi mental dan fizikal setelah mendapatkan rehat secukupnya dan mampu memberi aksi yang terbaik.

Sementara itu, pemain pertahanan JDT Aidil Zafuan Abdul Radzak berkata tumpuan utama pasukan kini hanya mahu mara ke perlawanan akhir dan berjanji akan menampilkan aksi terbaik.

“Kita tidak ada apa-apa yang perlu ditunjukkan selain kemenangan, semua anggota pasukan tahu tanggungjawab masing-masing, lebih-lebih lagi kita bermain di laman sendiri jadi memang tidak ada alasan untuk kalah,” katanya.

Mengikut format terbaharu Piala AFC musim ini, 11 pasukan dari Zon Asean membabitkan tiga kumpulan iaitu Kumpulan F, G dan H berentap merebut empat tempat ke pusingan seterusnya.

Setakat ini, hanya pasukan daripada Kumpulan H , Home United dari Singapura sudah mengesahkan tiket ke separuh akhir Zon Asean.

JDT kini berada di landasan terbaik untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya selaku pasukan tempat kedua terbaik, mengatasi pasukan di tempat kedua Kumpulan G, Hanoi FC dari Vietnam.-Bernama

Tags / Kata Kunci: Piala AFC , JDT

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan