LBR: Keningau Buru Bekalan Selesa Di Laman Sendiri

Diterbitkan: Jumaat, 28 April 2017 11:44 AM

Barisan pemain-pemain Keningau.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Menjelang pertembungan kelompok empat terbaik, Keningau tekad memburu bekalan selesa pada perlawanan separuh akhir pertama Liga Bolasepak Rakyat (LBR) 2016/17 menentang Gua Musang di Kompleks Sukan Keningau, Sabah Sabtu ini.

Menyedari lawan yang bakal ditentang bukan calang-calang, apatah lagi aksi kedua di tempat lawan, Keningau mengimpikan tiga gol mampu dijadikan bekalan tanpa sebarang jaringan diberikan kepada lawan.

Pengendali Keningau, Sueli Apin berkata, perlawanan ini pastinya menarik terutamanya barisan anak didiknya yang kini tidak sabar memburu kemenangan menenang Gua Musang.

“Kami perlukan tiga gol tanpa balas untuk dibawa pada aksi di Padang Sivik Gua Musang untuk aksi kedua, jika ia mampu dilaksanakan peluang beraksi di pentas akhir cerah. “Perlawanan menentang Paya Besar pada peringkat suku akhir memberi banyak pengalaman buat pemain, kami tidak mahu memilih jalan sukar untuk menjadi dua yang terbaik,” katanya.

Mengulas barisan pemain yang bakal diturunkan beraksi, Sueli menjelaskan beberapa rombakan kecil dalam pasukan akan dilakukan untuk mempelbagaikan corak permainan.

“Corak permainan akan dipelbagaikan untuk memberi tekanan kepada pelawat, jadi strategi dan perancangan telah dibuat dan hanya menunggu wisel permulaan ditiupkan pengadil.

“Menyerang tanpa mengabaikan aspek pertahanan adalah kunci utama dan pemain telah diingatkan agar memberi tumpuan sepenuhnya selain mengelakkan kesilapan mudah yang membuka ruang kepada lawan.

“Jika segala perancangan berjalan lancar, kami percaya bekalan selesa bakal dibawa menuju ke Pantai Timur,” katanya.

Sementara itu, rakan sejawatannya di Gua Musang, Ruhaled Abd Hamid, berkata, tentangan sengit pasti dijelmakan tuan rumah namun itu bukan alasan untuk anak didiknya mengalah terlalu awal.

Skuad Gua Musang

“Beraksi dalam situasi seumpama ini, selaku pelawat pastinya kami akan memberikan tentangan sengit sambil mengharapkan keputusan positif dibawa pulang untuk aksi timbal balik.

“Keningau adalah pasukan yang memiliki semangat juang barisan pemain serta sokongan padu dari penyokong. Pemain Gua Musang telah diingatkan agar memberikan tumpuan sepenuhnya kerana perjalanan pasukan kini semakin hampir ke pentas akhir.

“Kami tidak akan memberikan laluan mudah, gol ditempat lawan begitu bermakna namun ia bukan alasan untuk pasukan melakukan kesilapan,” katanya yang mahu pemain melupakan kemenangan ke atas Cheras minggu lalu.

Dua lagi perlawanan yang memburu satu slot akhir ialah Serian yang berjaya menewaskan Kangar dan bakal menanti kunjungan Bachok sehari selepas aksi Keningau.

Bachok melangkah ke peringkat separuh akhir selepas menumbangkan Manjung di Stadium TLDM Lumut, 2-1 dan layak dengan agregat 3-2 selepas sekadar seri 1-1 dilaman sendiri.

Jadual Perlawanan Separuh Akhir Pertama LBR 2016/17:

29 April ( Sabtu)

Keningau lwn Gua Musang (Kompleks Sukan Keningau, Sabah, 8.00 mlm)

30 April (Ahad)

Serian lwn Bachok (Kompleks Sukan Serian, Sarawak, 4.00 ptg)

Tags / Kata Kunci: Liga Bolasepak Rakyat

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan