Liga M: Pasukan Dimiskinkan Penganjur - Annuar Musa

Diterbitkan: Ahad, 23 April 2017 11:52 AM

(Ubah saiz teks)

TAN Sri Annuar Musa mencadangkan Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) mengadakan diskusi atau forum terbuka berhubung perlaksanaan penganjuran Liga Malaysia (Liga-M) bagi memastikan pasukan lebih berdaya saing bertanding dalam liga tersebut.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) itu dipetik menerusi laman sosialnya, Tan Sri Annuar Musa pada Sabtu, berkata, beliau secara sukarela bersedia mengulas isu panas berhubung soal gaji dan kelangsungan liga domestik utama negara itu.

“Dari dulu saya dah cakap liga kita perlu kepada penelitian menyeluruh. Model liga perlu dibaiki supaya menjadi berdaya maju bukan ikut peraturan survival of fittest  kerana liga adalah satu bisnes model yang perlu dibentuk dan dijaga dengan baik.

“Model sekarang bergantung pada ihsan dan kuasa individu. Tanpa individu tertentu dalam pasukan, kantung menjadi kering. Banyak (pasukan) bergantung pada ihsan pemimpin negeri dan bila negeri tak bantu maka persatuan jatuh miskin,” katanya.

Menurutnya, lantaran itu, banyak pasukan berdepan masalah dan siapa sangka, pasukan seperti Selangor yang merupakan di antara dalam kalangan gergasi bola sepak negara juga turut terpalit  dengan  isu berkenaan.

“Kalau Selangor pun terpaksa alami masalah bagaimana pula pasukan lain? Selangor dan Kelantan dipimpin (bekas) Timbalan Presiden FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) !!!,” katanya.

Tambahnya lagi, masih banyak pihak tidak faham dengan istilah liga daya maju dan FMLLP sendiri selaku badan pengendali juga gagal memahami konsep tersebut.

“Benar  kata TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Presiden FAM), FMLLP sepatutnya kena beri tumpuan kepada urusan mencari duit untuk liga lebih berdaya maju supaya pasukan mendapat pulangan berpadanan dengan pelaburan tambah nilai mereka.

“Kongsi pendapatan hak penyiaran dengan pasukan...besarkan (nilai) hadiah liga mengikut kedudukan prestasi pasukan. Ini tidak.....FMLLP sendiri gagal mencapai sasaran penajaan. MP Silva yang kononnya membeli hak penyiaran liga tak bayar seperti dijanjikan.

Malah kata beliau lagi, duit hadiah mengikut kedudukan liga juga dibayar tak menentu selain hadiah kejuaraan Piala FA dan Piala Malaysia serta sumbangan untuk program pembangunan berdepan masalah sama.

“Sumbangan  untuk  pengarah teknikal pun sama....kalau nak dihukum maka penganjurlah yang perlu  dihukum.

“Potong mata memang mudah, tapi itu hanya akan menjadikan keadaan lebih parah, pasukan mungkin diturunkan (ke liga bawah) kerana sebab itu. Ini boleh menyebabkan penajaan semakin merosot dan pasukan dimiskinkan oleh penganjur,” katanya. - Sinar Online

Tags / Kata Kunci: Annuar Musa , FMLLP

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan