Menang Ke Atas Chelsea, Mourinho Puji Rashford, Herrera

Diterbitkan: Isnin, 17 April 2017 7:16 AM

Marcus Rashford. -fotoREUTERS

(Ubah saiz teks)

PENGURUS Manchester United Jose Mourinho memuji persembahan luar biasa Marcus Rashford dan Ander Herrera ketika kelab itu menundukkan Chelsea 2-0 di Old Trafford, malam Ahad.

Rashford dan Herrera menjaringkan gol penting dalam kemenangan yang kembali membuka peluang United untuk bersaing merebut posisi empat kelompok teratas untuk menempatkan diri dalam Liga Juara-Juara.

"Dia (Rashford) bermain dengan cara mengagumkan. Dia juga bermain sangat baik di Stamford Bridge pada Piala FA," kata Mourinho sebaik sahaja tamat perlawanan.

"Dia mempunyai peluang yang sama untuk menjaringkan gol ketika bermain dengan 10 orang pada babak kedua kerana dia lebih cepat daripada bek lawan," katanya.

Kemenangan ini merupakan kemenangan pertama Mourinho ke atas Chelsea pada musim ini setelah kalah dua kali (0-4 dalam perlawanan liga, 0-1 di Piala FA).

Mengulas lanjut Mourinho berkata gol itu juga penting untuk menaikkan semangat dan keyakinan diri buat Rashford dan pasukan.

"Hari ini dia menjaringkan gol pada awal pertandingan yang membuatkan pasukan lebih yakin dan stabil. Ia sangat penting dan cara dia bermain sangat mengagumkan," kata Mourinho.

Tidak hanya Rashford, Ander Herrera yang menyumbangkan gol kedua United juga mendapat pujian daripada Mourinho.

"Dia (Herrera) berdepan waktu yang sukar pada pertandingan (Piala FA) disebabkan masalah pengadil, tapi penampilannya tetap sama, begitu juga pasukan, cuma bezanya kami berdepan dengan 11 pemain," kata Mourinho.

Selain itu Mourinho juga memuji dua pemainnya, Eric Bailly dan Marcos Rojo, yang disifatkan bermain secara konsisten dalam setiap pertandingan.

"Saya rasa semua orang telah melakukan perkara yang mesti mereka lakukan. Semua orang berusaha keras. Bailly dan Rojo, saya rasa mereka layak disebut secara khusus kerana telah bermain secara luar biasa pada setiap pertandingan, tanpa henti, sejak Smalling dan Jones cedera," kata Mourinho.

United akan kembali bermain pada 20 April menentang Anderlecht di Liga Europa, kemudian berangkat ke Burnley pada 23 April dan berdepan Manchester City dalam perlawanan pada 27 April.

United kini berada di kedudukan kelima carta liga dengan 60 mata manakala Chelsea kekal di puncak dengan 75 mata.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan