Gelanggang Berkecuali Malaysia-Korea Utara Masih Jadi Teka-Teki

Diterbitkan: Isnin, 17 April 2017 4:18 PM

Windsor Paul.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Status gelanggang perlawanan berkecuali untuk perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2019 antara Malaysia dan Korea Utara yang sepatutnya diketahui pada Isnin masih lagi menjadi teka-teki apabila Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memaklumkan keputusan mengenainya masih belum dimuktamadkan.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul berkata pihaknya masih menunggu maklum balas daripada Malaysia dan Korea Utara berhubung perkara itu dan keputusan mengenai gelanggang berkecuali tersebut hanya boleh diketahui pada hujung minggu ini.

"Kami masih berbincang dengan badan induk bola sepak kedua-dua negara dan butiran terperinci mengenainya akan diketahui pada hujung minggu ini," katanya kepada mStar Online menerusi aplikasi WhatsApp pada Isnin.

Ditanya mengenai maklumat yang masih ditunggu daripada badan induk bola sepak kedua-dua negara itu, Windsor bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya kerana ia masih diperingkat perbincangan.

"Masih dalam perbincangan jadi tak boleh dedahkan buat masa ini. Tunggu hujung minggu ini selepas kita dapat semua maklumat," katanya.

Pada Jumaat lalu, Windsor berkata gelanggang berkecuali untuk perlawanan kedua-dua negara itu akan diketahui pada Isnin selepas Korea Utara gagal mengemukakan maklum balas walaupun tempoh berbuat demikian tamat pada Jumaat.

Jelas Windsor, perlawanan itu hanya akan dilangsungkan di gelanggang berkecuali andai tiada perubahan dalam hubungan diplomatik antara kedua-dua negara menjelang 8 Mei, iaitu sebulan sebelum perlawanan itu dijangka diadakan.

Windsor juga berkata perlawanan ini akan diadakan secara timbal balik jika hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara kembali seperti biasa.

Sebelum ini Korea Utara diberi tempoh sebulan oleh AFC untuk mencadangkan satu gelanggang berkecuali bagi perlawanan itu.

Skuad Malaysia yang sebelum ini dilatih Datuk Ong Kim Swee, dijadualkan menentang Korea Utara dalam perlawanan Kumpulan B kelayakan Piala Asia di Stadium Kim Il-sung di Pyongyang pada 28 Mac lalu.

Namun ketegangan politik berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu menyebabkan kerajaan Malaysia melarang skuad itu beraksi di sana atas faktor keselamatan.

Berikutan itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengemukakan permohonan kepada AFC pada 13 Mac lepas, untuk mengadakan perlawanan tersebut di gelanggang berkecuali.

Tags / Kata Kunci: AFC , gelanggang berkecuali , Malaysia , Korea Utara

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan