TMJ Sedia Berundur

Diterbitkan: Ahad, 16 April 2017 9:07 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: "Jika penyokong bola sepak tanah air merasakan saya bukan individu sesuai sebagai presiden anda boleh cari presiden baharu. Tiada masalah."

Demikian tegas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada penyokong yang sentiasa menimbulkan isu seolah-olah beliau banyak mempengaruhi keputusan perlawanan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Tunku Ismail mengingatkan penyokong bola sepak bahawa JDT telah memenangi piala sebelum beliau mengemudi badan induk bola sepak negara itu.

"Ingatlah bahawa JDT telah memenangi piala sebelum saya menjadi Presiden. Kalau ada pihak yang membangkitkan isu berkenaan keputusan pengadil, pihak FAM akan menayangkan video dan penyokong boleh menilainya sendiri.

"Jikalau penyokong masih rasa kurang senang dengan saya sebagai Presiden FAM, anda boleh menyeru ahli gabungan masing-masing untuk mengadakan Majlis Kongres dan melantik Presiden baru. Ia bukan satu masalah yang besar," katanya dalam  kenyataan pada Ahad.

Jelas Tunku Ismail, beliau memikul tanggungjawab sebagai presiden kerana ingin membantu pasukan kebangsaan, meningkatkan mutu liga tempatan, memastikan bola sepak tidak digunakan agenda politik dan memusnahkan rasuah dalam sukan tersebut.

Namun, beliau mengakui tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyerahkan kepada penyokong bagi memilih presiden baharu jika beliau dianggap sebagai individu tidak sesuai menerajui badan induk itu.

Selain itu, Tunku Ismail telah mengarahkan FAM, Jawatankuasa Integriti dan Persatuan Pengadil untuk menyiasat sistem pengadilan yang didakwa lemah dan mencurigakan membabitkan beberapa perlawanan sebelum ini.

"Saya mahu siasatan terperinci dilakukan sepenuhnya dan keputusan mengenai perkara itu perlu diambil minggu ini," katanya.

Tegas beliau, jika pengadil didapati gagal mengadili perlawanan dengan baik, pihak terlibat akan dihukum dan harus direhatkan.

"Saya juga ingin memaklumkan jika perkara ini didapati sabit kesalahan kerana unsur rasuah, pengadil tersebut harus digantung seumur hidup," katanya.

Beliau turut memberitahu semua nama dan butiran pengadil bersama semua kakitangan dalam FAM telah diberikan kepada SPRM supaya pihak berkuasa boleh memantau dan memastikan badan induk itu bebas rasuah.

"FAM perlu memastikan sesiapa yang terlibat dengan bola sepak di Malaysia perlu menjalankan tugas dengan penuh integriti," tegasnya.

Tags / Kata Kunci: Tunku Ismail Sultan Ibrahim , FAM , JDT

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan