Cheng Hoe Sahkan Terima Surat Pelantikan Penolong Jurulatih Harimau Malaya

Diterbitkan: Selasa, 11 April 2017 8:51 PM

Ahmad Bashah (kiri) berkata sesuatu dengan Cheng Hoe ketika menerima kunjungan jurulatih Kedah itu bagi memaklumkan pelantikannya sebagai Penolong Pembantu Harimau Malaya di Pejabat Menteri Besar di Wisma Darulaman pada Selasa. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe pada Selasa mengesahkan telah menerima surat pelantikan sebagai penolong jurulatih skuad Harimau Malaya daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 5 April lalu.

Cheng Hoe berkata, surat itu telah diserahkan kepada Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Aminuddin Omar pada 6 April, dan beliau kini menunggu keputusan daripada KFA. 

"Bagaimanapun, bila tarikh saya melapor diri di FAM belum dapat saya berikan kerana saya masih perlu mendapatkan respons daripada pengurusan tertinggi KFA," katanya yang menghantar surat peletakan jawatan sebagai jurulatih Kedah pada 1 April lepas. 

Terdahulu, Cheng Hoe melakukan kunjungan hormat kira-kira 15 minit ke atas Menteri Besar merangkap Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Aman, bagi memaklumkan secara rasmi pelantikan beliau sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan.

KFA sebelum ini, meminta Cheng Hoe mengemukakan surat tawaran rasmi daripada FAM sebelum membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan beliau sebagai jurulatih Kedah. 

Cheng Hoe berkata dalam perjumpaan tersebut, Ahmad Bashah menyatakan kegembiraannya kerana ada rakyat Kedah yang dapat melatih pasukan kebangsaan, namun pada masa sama bimbang dengan prestasi skuad Helang Merah selepas ini, setelah ketiadaan beliau. 

"Dia (Ahmad Bashah) gembira tetapi pada masa sama berfikir tentang prestasi pasukan Kedah yang kini berada di landasan terbaik dalam saingan Liga Malaysia. 

"Pada masa ini, saya masih jurulatih Kedah dan saya akan pastikan tugas untuk melatih pemain Kedah dijalankan dengan baik," katanya.

Cheng Hoe berkata, ia keputusan yang amat sukar untuk meninggalkan tugas sebagai jurulatih Kedah, namun ada tugas berat yang perlu dipikul bagi mengangkat semula prestasi pasukan Harimau Malaya di arena bola sepak dunia. 

"Cabaran di peringkat kebangsaan lebih besar dan bukan senang untuk mendapat sokongan daripada penyokong. Jadi ini akan menjadi tugas saya apabila berkhidmat dengan FAM nanti," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan