Man United Mudah Jinakkan Sunderland

Diterbitkan: Ahad, 9 April 2017 10:23 PM

PEMAIN Manchester United meraikan gol pertama yang dijaringkan oleh Zlatan Ibrahimovic ketika menentang Sunderland di Stadium of Light pada 8 April 2017. - REUTERS

(Ubah saiz teks)

MANCHESTER UNITED melonjak ke tangga kelima liga buat sementara apabila mudah menewaskan Sunderland di Stadium of Light dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Ahad dengan kemenangan 3-0.

United beraksi tanpa penjaga gol utamanya, David De Gea ketika Jose Mourinho semakin terdesak untuk menghidupkan peluang beraksi di Liga Juara-Juara pada musim depan.

Bagaimanapun aksi 30 minit pertama agak hambar buat kedua-dua pasukan kerana tiada gerakan berbahaya dijelmakan untuk mengubah corak permainan.

Sehinggalah pada minit ke-31, pemain veteran Zlatan Ibrahimovic berjaya memecah kebuntuan menerusi jaringan cantik dari luar kotak penalti selepas memperdayakan dua pertahanan Sunderland.

Gol bintang Sweden itu ternyata menyuntik semangat anak buah Mourinho memburu lebih banyak gol bagi menambah derita Sunderland tetapi peluang terbaik yang terhidang untuk Marouane Fellaini gagal disudahkan dengan baik selang enam minit kemudian.

Sunderland yang kini dikendalikan oleh David Moyes, bekas pengurus Manchester United, berpeluang untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-39 menerusi percubaan Anichebe, tetapi pengganti De Gea, Sergio Romero ternyata membuktikan kemampuannya untuk mengawal gawang United.

Pasukan tuan rumah tidak bernasib apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain tengah sebastian Larsson dibuang padang kerana melakukan terjahan keras ke atas Ander Herrera pada minit ke-42.

Aksi separuh masa kedua lebih mudah buat United apabila menambah jaringan kedua menerusi bintang Armenia, Henrikh Mkhitaryan hanya seminit selepas wisel ditiupkan.

Bagaimanapun anak buah Mourinho mempamerkan corak permainan yang kurang kemas dan sering melakukan hantaran yang sia-sia, sekali gus menutup peluang untuk memburu gol ketiga.

Sebaliknya, Jermain Defoe hampir menghukum kelekaan pasukan pelawat menerusi percubaan pada minit ke-60 tetapi rembatannya jauh melewati gawang gol.

Kemasukan Marcus Rashford yang menggantikan Jesse Lingard pada minit ke-62 ternyata mengubah rentak permainan United dengan gerakan yang lebih berbahaya di bahagian serangan.

Hasilnya, Rashford menjaringkan gol ketiga United pada minit ke-89 menerusi satu serangan balas yang dimulakan Paul Pogba dan lorongan cantik Ibrahimovic.

United kini menduduki tangga kelima liga dengan mengumpul 57 mata, ketinggalan empat mata untuk merampas tangga keempat yang kini dihuni oleh Manchester City.

Bagaimanapun United akan kembali menghuni tangga keenam sekiranya Arsenal menang ke atas Crystal Palace pada Isnin.

Tags / Kata Kunci: Manchester United

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan