SPRM Terus Pantau Pemain, Pegawai - FAM

Diterbitkan: Sabtu, 8 April 2017 10:15 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengalu-alukan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk terus memantau semua pemain dan pegawai yang terlibat dalam Liga Malaysia sebagai usaha membanteras gejala rasuah dalam sukan nombor satu di negara ini.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal menerusi kenyataannya turut mengucapkan tahniah kepada agensi penguatkuasa tersebut kerana berjaya mengenalpasti dan menahan tiga pemain pasukan Malaysia Indian Football Association (MIFA) yang terlibat dalam skandal menjual perlawanan.

"FAM amat mengalu-alukan SPRM untuk terus memantau semua pemain dan pegawai pasukan di dalam Liga Malaysia serta para pegawai di dalam FAM bagi membanteras gejala mengatur perlawanan dan rasuah," kata beliau.

Subahan berkata demikian menerusi satu kenyataan yang disiarkan dalam laman rasmi Facebook FAM pada awal pagi Sabtu.

Awal minggu ini, dunia bola sepak Malaysia digemparkan dengan penahanan tiga pemain MIUFA yang dipercayai menerima rasuah bagi mengatur perlawanan Liga Perdana musim 2017.

Ketiga-tiga suspek , dua warga tempatan masing-masing berusia 26 and 27 tahun manakala seorang lagi pemain import Argentina berusia 29 tahun, direman selama tujuh hari bermula Khamis untuk siasatan lanjut.

Siasatan awal SPRM mendapati, pemain terlibat menerima wang rasuah antara RM10,000 dan RM30,000 daripada bookie untuk mempengaruhi keputusan perlawanan sepanjang kempen Liga Perdana.

Susulan penahanan tiga pemain itu, seorang lelaki berusia 47 tahun dipercayai 'bookie' untuk mengatur perlawanan, turut ditahan dan direman selama enam hari.

Tags / Kata Kunci: FAM , SPRM , Subahan Kamal

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan