‘Kami Tak Terlibat Kes Rasuah, Atur Perlawanan'

Diterbitkan: Jumaat, 7 April 2017 11:19 AM

(Ubah saiz teks)

KETUA Jurulatih UiTM FC, Wan Mustaffa Wan Ismail menolak kemungkinan pasukannya terlibat dalam kes rasuah dan mengatur perlawanan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Ini susulan daripada penahanan tiga pemain MISC-Mifa oleh SPRM kelmarin, kerana dipercayai menerima suapan bookie untuk mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana.

Bagi Wan Mustaffa, meskipun skuadnya pernah membelasah MISC-Mifa 7-2 pada 3 Mac lalu, namun beliau menyifatkan pasukannya berhak menang besar kerana mempamerkan aksi cemerlang dalam perlawanan itu.

Walaupun begitu, beliau mengakui tetap timbul kerisauan kerana kebiasaannya kes mengatur perlawanan membabitkan pemain daripada dua pasukan yang bertanding.

“Saya harap kes membabitkan MISC-Mifa hanyalah kes terpencil dalam saingan Liga Perdana.

“Lagi pun, kita tak boleh nak cakap kes ini berlaku sewaktu keputusan menang besar, menang kecil atau sebaliknya.

“Tapi saya yakin, pemain saya tidak terlibat dan apa yang boleh saya katakan buat masa ini belum ada sebarang siasatan daripada SPRM terhadap pasukan kami,” katanya menurut laporan Sinar Online.

Mengulas pertemuan dengan PDRM dalam saingan Liga Perdana malam ini, Wan Mustaffa optimis pasukannya mampu memberi tentangan hebat.

Ini berikutan keputusan positif yang dicatat pasukannya dalam perlawanan persahabatan sewaktu rehat panjang yang menyaksikan mereka mencatat dua kemenangan (ke atas PKNS FC dan Melaka United) dan dua seri (Selangor dan T-Team).

Justeru, beliau mengharapkan pemain terus kekal prestasi terbaik dan bersungguh-sungguh membawa pulang tiga mata.

Tags / Kata Kunci: UiTM FC , Liga Perdana

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan