Mourinho, Shaw Tidak Bertegur Lebih Sebulan

Diterbitkan: Selasa, 4 April 2017 3:14 PM

(Ubah saiz teks)

BOS Manchester United, Jose Mourinho dilapor langsung tidak bertegur dengan seorang daripada pemainnya sejak sebulan lalu susulan prestasi pemain tersebut yang dikatakan semakin merudum.

Menurut portal The Times, Mourinho enggan bercakap dengan Luke Shaw sejak Manchester United seri 1-1 dengan Bournemouth di Old Trafford pada 4 Mac lalu.

Sejak perlawanan tersebut, pemain bek kiri berusia 21 tahun itu tidak disenaraikan oleh Mourinho termasuk di bangku simpanan kecuali ketika aksi menentang Middlesbrough yang menyaksikan Red Devils menang 3-1.

Namun, Shaw hanya diletakkan di bangku simpanan dan tidak diturunkan pada perlawanan tersebut.

Laporan lain menyebut bahawa Shaw berkecil hati dengan tindakan Mourinho itu dan mempertimbangkan untuk mengangkat kaki dari Old Trafford jika peluangnya untuk menyinar semakin malap.

Malah Mourinho juga memberi bayangan bahawa masa depan pemain England itu bersama Manchester United semakin pudar apabila pengurus kelahiran Portugal itu menjawab kepada media selepas perlawanan menentang West Brom pada Sabtu lalu.

"Sukar untuk meletakkan dia (Shaw) di bangku simpanan kerana saya tidak boleh membandingkan dia dengan Ashley Young, Matteo Darmian dan Daley Blind.

"Saya tidak boleh membandingkan cara dia berlatih, tumpuan dan impiannya.

"Dia jauh ketinggalan," kata Mourinho.

Bagaimanapun, legenda pertahanan Manchester United, Gary Neville mempertahankan bakat muda England itu dan percaya Shaw memerlukan lebih banyak perlawanan untuk membuktikan tanggapan Mourinho salah.

"Saya fikir, Shaw bergelut untuk mencapai tahap kecergasannya sejak mengalami kecederaan yang teruk sebelum ini," katanya.

Tags / Kata Kunci: Jose Mourinho , Luke Shaw

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan