Isu Kecil, Tak Perlu Ambil Tindakan - TMJ

Diterbitkan: Isnin, 3 April 2017 9:32 AM

Tunku Ismail Sultan Ibrahim

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: 'Isu kecil', demikian pandangan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung isu penyokong Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak dibenar masuk ke Stadium Darul Makmur pada perlawanan lepas.

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, beliau bagaimanapun telah mengarahkan Pengarah Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) Kevin Ramalingam untuk bertemu dan berbincang dengan beliau berhubung isu ini, Isnin.

"Bagi saya ia adalah isu yang kecil dan tidak perlu diambil apa-apa tindakan.

"Pihak PBNP (Persatuan Bolasepak Negeri Pahang) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) perlu duduk semeja bersama-sama berbincang dan menyelesaikan masalah tersebut antara mereka supaya ia tidak akan berlaku lagi pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan, malam Ahad.

Kenyataan ini dikeluarkan susulan dakwaan Pahang tidak memainkan lagu rasmi negeri Johor dan tidak membenarkan penyokong pasukan pelawat memasuki Stadium Darul Makmur pada aksi suku akhir pertama Piala FA, Sabtu.

TMJ bagaimanapun menasihatkan ahli-ahli gabungan dan pasukan bertanding supaya mengikut 'Standard Operational Procedure' (SOP) FAM atau FMLLP, atau berdepan kemungkinan hukuman.

"Jangan pula nanti bila dikenakan tindakan atau denda kepada pasukan dan kelab, penyokong akan menyalahkan FAM atau FMLLP.

"Jadi untuk isu tersebut, pada saya ia tidak perlu disiasat dan diambil tindakan.

"Cukup sahaja jika pihak PBNP, PBNJ dan FAM duduk semeja untuk selesaikan isu tersebut, dan pastikan isu tidak diingini seperti ini tidak terjadi lagi," katanya.

Dalam perkembangan lain TMJ berkata beliau tidak akan melayan individu atau pihak yang suka memperbesarkan isu yang remeh temeh atau melaga-lagakan orang daripada mencari jalan penyelesaian.

Beliau merujuk isu yang ditimbulkan di laman sosial tidak rasmi yang dianggap gemar melaga-lagakan penyokong, dengan contoh terbaharu berita mengenai jurulatih pasukan Kedah, Tan Cheng Hoe.

TMJ berkata, selepas beliau melantik Mario Gomez sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan, beliau telah memberikan kebebasan kepada Gomez untuk memilih sesiapa sahaja yang beliau mahu bekerja bersama, dengan syarat penolong jurulatih itu mestilah jurulatih tempatan.

"Mario sendiri menyatakan bahawa beliau berminat dengan Tan Cheng Hoe oleh kerana dalam ramai-ramai jurulatih tempatan, Tan Cheng Hoe adalah yang terbaik baginya.

"Tetapi ia terpulang kepada Tan Cheng Hoe untuk menerimanya atau tidak," katanya.

Katanya, selain Tan Cheng Hoe, Gomez juga memilih Raul Longhi (penolong jurulatih JDT), jurulatih penjaga gol, Azmin Azram Abdul Aziz, jurulatih kecergasan dari luar negara (Itali atau Argentina) dan koordinator pasukan kebangsaan daripada AFC.

"Jadi, ini bukanlah satu perancangan untuk menjatuhkan mana-mana pihak seperti mana yang telah diwar-warkan oleh laman tidak rasmi yang sehingga hari ini belum pernah berdepan dengan saya," katanya.

TMJ berkata beliau berharap penyokong pandai menilai sendiri siapa dan pihak yang mana yang selalu mewar-warkan isu kecil berbanding pihak yang memainkan peranan dan memberi sumbangan serta berkongsi pendapat, berdepan untuk bersama membantu merubah landskap bola sepak tempatan.

"Bukan hanya tahu melaga-lagakan penyokong sahaja," katanya.

Menurut TMJ, beliau juga akan pergi ke semua negeri untuk mesyuarat exco FAM dan sesi bersama penyokong.

"Kepada anda yang tidak berpuas hati boleh bertanya terus dan berkongsi pendapat dengan saya.

"Saya bukan individu yang suka bersembunyi dan tidak tahu apa-apa.

"Saya suka bersemuka dengan individu-individu seperti ini dengan cara 'gentleman' dan bersikap telus bagi menyelesaikan terus masalah atau persoalan dari anda semua demi meningkatkan mutu bola sepak dalam negara dan pasukan kebangsaan," katanya.

Tags / Kata Kunci: TMJ , FMLLP , PBNP , penyokong JDT

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan