'Zico' Letak Jawatan Jurulatih Thailand

Diterbitkan: Sabtu, 1 April 2017 7:00 AM

Kiatisuk Senamuang.

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Selepas sebulan memperbaharui kontrak selaku  jurulatih Thailand, Kiatisuk Senamuang meletak jawatannya berikutan prestasi mengecewakan pasukan berkenaan pada kempen kelayakan Piala Dunia zon Asia.

Bekas penyerang Thailand itu, yang dilantik pada 2013, membuat pengumuman tersebut menerusi akaun media sosialnya hari ini, empat hari selepas pasukannya tumpas 0-4 kepada Jepun.

"Hari ini, saya ingin mengumumkan keputusan menamatkan peranan sebagai jurulatih pasukan kebangsaan," kata Kiatisuk yang hanya bulan lepas bersetuju memperbaharui kontrak selaku jurulatih Thailand untuk setahun lagi.

Jurulatih berusia 43 tahun itu yang lebih dikenali dengan gelaran 'Zico', berterima kasih kepada pemainnya, kakitangan dan penyokong yang sentiasa menyokong beliau.

Spekulasi masa depan Kiatisuk sebagai jurulatih pasukan 'Gajah Perang' menjadi tumpuan media selepas skuad bimbingannya hanya mencatat satu keputusan seri dan enam kekalahan daripada tujuh aksi kelayakan Piala Dunia, dan terbaharu tumpas kepada Jepun di Saitama, Selasa lepas.

Minggu lepas, Thailand juga tumpas 0-3 kepada Arab Saudi biarpun beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Rajamangala di sini.

Walaupun akan beraksi dalam beberapa lagi perlawanan dalam kempen kelayakan Piala Dunia, peluang Thailand untuk layak ke Piala Dunia yang bakal berlangsung di Rusia, tahun depan sudah tertutup.

Kiatisuk ditawarkan kontrak setahun untuk meneruskan tugasnya sebagai jurulatih Thailand pada Februari lepas, berikutan kejayaan skuad bimbingannya merangkul gelaran Piala AFF Suzuki selepas menewaskan Indonesia, Disember lalu.

Gelaran tersebut adalah kelima buat Thailand pada kejohanan bola sepak serantau itu.

Sebagai rekod, Kiatisuk mengambil alih tugas selaku jurulatih Thailand  daripada pengendali dari Jerman, Wilfried Shaefer. 

Tags / Kata Kunci: Zico , Thailand

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan