Status NFDP: Khairy 'Sedia Kerjasama' Dengan FAM

Diterbitkan: Khamis, 30 Mac 2017 9:10 PM

Khairy Jamaluddin berucap pada Majlis Pelancaran Plat Kenderaan Rimau Sempena Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para Asean ke-9 Kuala Lumpur 2017 di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Khamis. fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Program Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP) kekal diuruskan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), setidak-tidaknya buat masa ini, kerana belum ada tanda perubahan statusnya kepada program yang dilancarkan pada 2014.

Malah, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang sekali lagi diajukan soalan sama mengenai status program itu, kekal dengan jawapannya: "Kita akan beri kerjasama yang terbaik kepada FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia)."

Menurut Khairy beliau yakin kerjasama yang dijalin antara FAM di bawah pimpinan baharu dan NFDP, mampu membuahkan hasil yang positif kepada pembangunan bola sepak negara.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran penjualan nombor pendaftaran kenderaan 'RIMAU' sempena Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN di kementeriannya, di sini Khamis.

Status NFDP mula dibangkitkan apabila Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan semua program bola sepak peringkat akar umbi termasuk NFDP sepatutnya diuruskan anggota gabungan dan bukannya KBS.

Malah, beliau berkata adalah menjadi tanggungjawab badan induk bola sepak negara untuk mengurus dan menyelia apa jua program membabitkan bola sepak di negara ini tanpa campur tangan organisasi lain.

Isnin lepas, ketika diajukan soalan mengenai pandangan Tunku Ismail untuk meletakkan NFDP di bawah kendalian FAM, Khairy berkata KBS sedia terus bekerjasama dengan FAM bagi pembangunan bola sepak negara.

Sebagai rekod, NFDP yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 April 2014, merupakan program pembangunan bola sepak remaja yang berusia antara tujuh dan 17 tahun yang mendapat kelulusan Jemaah Menteri.

Justeru, NFDP menjadi dasar kepada kerajaan yang mana ia akan berterusan walaupun berlaku perubahan struktur kepimpinan dalam KBS.

Sementara itu, mengulas mengenai empat bekas pemain kebangsaan yang menyatakan hasrat untuk kembali menyarung jersi kebangsaan, Khairy berkata apa pun keputusan FAM, beliau berharap ianya adalah yang terbaik untuk bola sepak negara.

Empat pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) - Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Radzak, S. Kunanlan dan Amirulhadi Zainal - dikatakan sedia kembali menyarung jersi Harimau Malaysia selepas mengumumkan persaraan pada Julai 2016.

Pengendali baharu skuad Harimau Malaysia, Mario Gomez juga menyatakan akan memanggil kembali empat pemain itu yang disifatkan sebagai pemain berharga buat skuad kebangsaan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: NFDP , FAM , Khairy Jamaluddin

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan