Cheng Hoe Enggan Ulas Bakal Pembantu Gomez

Diterbitkan: Rabu, 29 Mac 2017 11:10 AM

Cheng Hoe enggan mengulas mengenai laporan bakal menjadi penolong jurulatih skuad kebangsaan.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pengendali pasukan Kedah, Tan Cheng Hoe enggan mengulas 'khabar angin' yang mengatakan dia bakal menjadi pembantu jurulatih skuad Harimau Malaysia.

Menurut Cheng Hoe, dia tidak ada sebarang komen atau berita yang ingin dikongsi buat sementara waktu ini, malah hanya ingin memberi fokus kepada skuad Helang Merah sahaja.

"Saya tidak mahu komen apa-apa setakat ini termasuk tawaran menjadi penolong jurulatih skuad negara.

"Apa yang penting sekarang adalah fokus kepada skuad Kedah," jelasnya ringkas ketika dihubungi mStar Online.

Sebelum timbul laporan mengatakan Cheng Hoe bakal digandingkan dengan Mario Gomez yang dilantik menjadi ketua jurulatih skuad kebangsaan oleh presiden baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sekiranya benar khabar angin tersebut, ia bakal menyaksikan jurulatih berusia 49 tahun itu kembali bersama skuad kebangsaan selepas pernah menjadi pembantu Datuk K.Rajagobal pada tahun 2010.

Sebagai rekod, sepanjang menguruskan skuad Kedah, Cheng Hoe telah merakamkan kejayaan luar biasa apabila menjuarai Liga Perdana 2015 sekaligus kembali beraksi dalam Liga Super musim lalu dengan menamatkan di kedudukan ketiga keseluruhannya.

Malah musim lalu juga skuad Kedah berjaya menjulang Piala Malaysia dan terbaharu dengan menjuarai Piala Sumbangsih (Januari).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan