'Taufan' TMJ Bakal Melanda FAM Bermula Sabtu Ini!

Diterbitkan: Jumaat, 24 Mac 2017 11:42 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Walaupun belum diiktiraf secara rasmi, namun realitinya kerusi nombor satu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah menjadi milik Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Oleh itu, tiada lagi teka-teki siapa yang bakal memegang jawatan presiden apabila pesaingnya, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan penarikan diri daripada bertanding pada Kongres FAM yang bakal berlangsung pada Sabtu ini.

Ini bermakna, cabaran besar TMJ untuk mengubah senario bola sepak negara sudah berada di bahunya biarpun pengesahan rasmi akan dibuat pada hari kongres itu nanti.

Tiada lagi 'kalau saya terpilih' kerana sememangnya bermula saat ini misi dan visinya sebagai pemimpin badan induk bola sepak negara akan menjadi perhatian utama.

Pada 22 Februari lalu, Tunku Ismail telah mengambil langkah awal dengan berkongsi pandangan, misi dan visi bersama penyokong-penyokong bola sepak tanah air.

Jelasnya ketika itu: "Kami dahagakan perubahan selama 30 tahun lebih dan saya rasa ini adalah peluang untuk kita sama-sama menukar air muka bola sepak tanah air kita.

"Selama ini ramai penyokong yang bersuara tak puas hati dengan struktur FAM, fungsi dan saya juga seperti anda.

"Jadi mulai daripada sekarang, ceritanya lainlah sikit".

 

Tunku Ismail telah membuktikan perubahan besar-besaran di kelabnya, Johor Darul Tak'zim (JDT) yang sekaligus memberi harapan kepada semua peminat situasi sama itu bakal berlaku dalam pasukan kebangsaan.

Apa yang pasti, seperti yang dinyatakan Tunku Ismail sebelum ini perubahan akan berlaku, dan perkara utama yang akan dibuatnya adalah menstruktur kembali pengurusan FAM.

Namun jelas Tunku Ismail, cabaran besar bakal menanti kerana beliau bakal bekerja dengan ahli-ahli gabungan yang ingin memajukan bola sepak negara.

"Pertama, saya lebih suka skuad kebangsaan ada organisasi sendiri yang tidak boleh dicuit mana-mana ahli gabungan termasuk timbalan presiden dan setiausaha agung.

"Laporan skuad akan terus kepada saya, pasukan kebangsaan akan ada ketua pegawai eksekutif (CEO) dan jurulatih yang juga terus lapor kepada saya. Tidak ada lagi sikap 'favoritism' sebaliknya hanya yang layak sahaja boleh menguruskan pasukan negara," katanya.

Tunku Ismail turut mendedahkan misi dan visi utamanya apabila memegang jawatan presiden.

"Saya akan meletak orang-orang saya dalam jawatankuasa tatatertib dan integriti serta jawatankuasa bendahari untuk jaga duit. Dan tak patut keluar satu sen dari FAM tanpa tandatangan saya.

"Setiap tiga  bulan mesyuarat exco tidak akan diadakan di FAM lagi ia akan dipindah ke setiap negeri. Mesyuarat pertama akan diadakan di Sabah dan selepas itu di negeri-negeri lain kerana saya dan ahli-ahli exco perlu lihat sendiri keadaan padang latihan, stadium, berapa bajet dan sebagainya".

Jelasnya, selepas mesyuarat exco, akan ada pula perjumpaan bersama peminat-peminat bola sepak yang bebas bersuara mengenai pandangan atau perasaan tidak puas hari terhadap pasukan negeri atau kelab masing-masing.

"Saya bertanggungjawab sampaikan segala luahan mereka (peminat) kepada persatuan atau kelab masing-masing," ujar Tunku Ismail.

Selain itu, turut dijelaskan Tunku Ismail adalah mengenai program pembangunan bola sepak dan pengadil.

"Pengadil akan ada organisasi sendiri, program latihan yang menggunakan teknologi baharu.

"Saya akan letak pengajar sepenuh masa dari luar negara untuk pengadil-pengadil kita. Mereka juga akan ada jurulatih kecergasan sendiri.

"Di England sehingga kini terdapat 65-69 orang pengadil profesional, namun kita masih belum ada lagi memandang bajet yang terhad.

"Jadi saya harapkan selepas ini kita akan ada sekurang-kurangnya 15 orang pengadil profesional.

"Mereka juga akan dipantau 24 jam oleh jawatankuasa intengriti dan SPRM.

"Malahan, antara yang pertama saya akan lakukan jika memegang jawatan ini juga adalah menukar perlembagaan yang mana selepas ini penyokong-penyokong layak memilih presiden dan bukannya ahli gabungan seperti yang berlaku sekarang.

"Hanya jawatan presiden sahaja, manakala jawatan lain adalah pilihan ahli gabungan".

Dalam pada itu, bukan sahaja peminat-peminat bola sepak tanah air yang menantikan lanskap baharu bola sepak tetapi penulis-penulis sukan turut ternanti-ternanti untuk mencoretkan kisah di luar kotak yang bakal dilahirkan oleh barisan kepimpinan baharu FAM.

Namun, kita masih menunggu sehingga esok siapa muka-muka baharu yang bakal bekerjasama dengan Tunku Ismail bagi mengisi kerusi naib presiden, timbalan presiden serta exco lelaki dan wanita.

Tags / Kata Kunci: Presiden FAM , Tunku Ismail , TMJ

iklan

Video

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Kolumnis

iklan

Iklan