Perlawanan Persahabatan: Kim Swee Akui Keputusan Seimbang

Diterbitkan: Rabu, 22 Mac 2017 9:40 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaysia berjaya mengikat tuan rumah, Filipina seri tanpa jaringan pada aksi persahabatan 'A' di Stadium Memorial Rizal di Manila, Rabu malam.

Tempo permainan yang berhati-hati ditunjukkan anak buah Datuk Ong Kim Swee menyaksikan pemain-pemain Filipina gagal menembusi benteng pertahanan biarpun cuba melakukan serangan seawal minit pertama permainan.

Sehingga babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan gagal menembusi gawang lawan masing-masing sekaligus keputusan kekal tanpa jaringan.

Skuad Malaysia yang tiba di Manila pada Isnin lalu bersama misi mengutip kemenangan bagi memperbaiki ranking dunia yang kini berada di tangga ke-161.

Malah dalam masa sama, ia merupakan persiapan Harimau Malaysia dalam menghadapi saingan  sulung Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara pada 8 Jun depan.

Perlawanan tersebut sepatutnya berlangsung pada 28 Mac ini namun terpaksa ditangguhkan berikutan konflik diplomatik Malaysia dan Korea Utara.

Menurut Kim Swee, kedua-dua pasukan mempunyai peluang menjaringkan gol, namun tidak ada penyudah yang baik.

"Saya yakin ia keputusan yang seimbang. Seperti Filipina, kita juga mahukan kemenangan tetapi mereka lebih baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Malah berdasarkan ranking (124), mereka juga jauh lebih baik daripada kita. Jadi gagal mendapatkan mata ia bukan bermakna tidak mencapai apa yang kita inginkan," jelasnya menerusi satu rakaman kepada media selepas perlawanan.

Senarai Pemain:

Filipina: Neil Etheridge, Junior Munoz, Lain Ramsey, Manuel Ott, Misagh Bahadoran, Phil Younghusband, Daisuke Sato, Amani Aguinaldo, Dennis Villanueva, Kevin Ingreso, Javier Patino

Malaysia:Mohd Khairulazhan Mohd Khalid, Muhammad Shahrom Abdul Kalam, Shahrul Mohd Saad, Baddrol Bakhtiar, Ahmad Hazwan Bakri, Mohd Safee Sali, Khair Mouhammad Jefri Jones, Mohd Syazwan Zainon, Mohd Amri Yahyah, Ronny Harun, Mohd Rizal Mohd Ghazali

Tags / Kata Kunci: Harimau Malaysia , Filipina , Persahabatan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan