Pengurus Kuantan FA Stabil

Diterbitkan: Sabtu, 11 Mac 2017 11:47 AM

Wan Solihi Wan Hassan.

(Ubah saiz teks)

IPOH: Pengurus pasukan Kuantan FA, Datuk Wan Solihi Wan Hassan yang rebah dan tidak sedarkan diri sebaik tamat perlawanan pusingan ketiga bola sepak Piala FA di Stadium Perak di sini malam Jumaat, kini dalam keadaan stabil.

Presiden Kuantan FA, Zaliza Zulkipli ketika dihubungi berkata Wan Solihi, 46, telah sedarkan diri sejurus tiba di Hospital Raja Perempuan Bainun (HRPB) di sini malam Jumaat, namun keadaannya masih lemah.

"Pihak hospital telah melakukan beberapa ujian termasuk tekanan jantung dan sebagainya, namun laporan penuh masih belum dikeluarkan.

"Beliau sudah dipindahkan ke wad biasa. Menurut doktor, beliau mungkin kekurangan air dan kepenatan," katanya sambil menambah anggota keluarga Wan Solihi dari Kuantan, Pahang juga sudah tiba di HRPB awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian malam Jumaat, Wan Solihi rebah secara tiba-tiba ketika berada di bilik persalinan pasukannya.

Pasukan paramedik yang tiba di stadium kemudiannya memberi rawatan awal ke atas Wan Solihi sebelum beliau dibawa ke HRPB dengan ambulans.

Pada perlawanan malam Jumaat, PKNP FC layak ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan Kuantan FA 5-4. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Kuantan FA , Wan Solihi Wan Hassan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan