AFC Bakal Umum Gelanggang Berkecuali Dalam Dua Hari

Diterbitkan: Selasa, 7 Mac 2017 6:44 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Keputusan permohonan Malaysia agar perlawanan bola sepak pusingan kelayakan Piala Asia menentang Korea Utara di gelanggang berkecuali akan diketahui dalam masa dua hari lagi.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihaknya yakin Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan meluluskan permohonan FAM itu, selepas kerajaan melarang skuad Harimau Malaysia beraksi di Pyongyang.

Selain itu, beliau berkata aksi timbal balik antara kedua-dua pasukan yang dijadualkan Malaysia selaku tuan rumah pada 14 November ini, berkemungkinan turut diadakan di gelanggang berkecuali.

"Pagi tadi saya menghubungi Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor Paul John, kita akan mendapat maklum balas dalam masa dua hari. Saya juga ingin menegaskan perlawanan ini akan tetap diadakan atas semangat kesukanan.

"Bermain di padang berkecuali itu mungkin tiada masalah kerana negara seperti Israel, Palestin, Syria dan Arab Saudi pernah dibenarkan bermain di gelanggang berkecuali atas sebab-sebab tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkanAnugerah Pemain Bulanan Terbaik Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) di sini, Selasa.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee dijadual menentang Korea Utara padaaksi sulung Kumpulan B, pusingan kelayakan akhir Piala Asia 2019 di Pyongyang,28 Mac ini.

Namun, semalam kerajaan Malaysia melarang skuad negara ke Pyongyang, susulan hubungan tegang kedua-dua negara, sejak kes pembunuhan Kim Chol, yang dilaporkan secara meluas oleh media sebagai Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara KimJong-un, pada 13 Februari lepas.

Terbaharu pada hari ini, kerajaan Malaysia bertindak balas melarang warga Korea Utara di Malaysia daripada meninggalkan negara ini, selepas Korea Utara bertindak menghalang rakyat Malaysia daripada keluar dari negara berkenaan.

Hamidin berkata FAM juga telah memberikan beberapa cadangan mengenai gelanggang berkecuali itu, tetapi enggan mengulas lanjut dan menyerahkan keputusan tersebut kepada AFC.

"Ia tidak melibatkan urusan pentadbiran dalam FAM. Dalam hal ini, FAM juga tidak membuat protes dan memang bersetuju dengan keputusan kerajaan kerana melibatkan isu keselamatan," katanya. -Bernama

Tags / Kata Kunci: AFC , FAM , Hamidin Mohd Amin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan