Spaso, Wak Am Perlu Bentuk Persefahaman - Presiden MUSA

Diterbitkan: Isnin, 20 Februari 2017 6:45 PM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Dua pemain utama Melaka United perlu segera membentuk persefahaman demi masa depan skuad berkenaan bagi meneruskan saingan dalam Liga Malaysia, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United itu berkata dua pemain itu,  ketua pasukan Ilija Spasojevic dan Mohd Amri Yahyah, harus menamatkan sebarang pergeseran antara mereka dan memberi fokus terhadap perjuangan pasukan tersebut.

Beliau berkata ketua jurulatih Eric Williams juga perlu memainkan peranan penting bagi menyelesaikan kemelut, yang dipercayai dihadapi dua penyerang utama skuad Sang Kancil itu.

"Jika ada perbalahan atau pertikaian ia perlu diperbetulkan. Dalam hal ini, Williams selaku ketua jurulatih juga perlu membantu menyelesaikannya dan sekiranya tidak boleh, pengurus (Datuk Mohd Yusoff Mahadi) perlu memainkan peranan beliau," katanya seperti dilaporkan Bernama di sini pada Isnin.

Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 949 penerima bagi Parlimen Tangga Batu, masing-masing 684 daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Pantai Kundur (149), Sungai Udang (60) dan Klebang (56).

Sebuah blog tempatan sebelum ini, melaporkan Spasojevic atau lebih dikenali sebagai 'Spaso' dan Mohd Amri yang juga kapten Harimau Malaysia, tidak sehaluan sekali gus merencatkan jentera serangan skuad Melaka United.

Sementara itu, Idris berkata kemenangan pasukan itu ke atas Sarawak 1-0 dalam aksi Liga Super, Sabtu lepas, perlu menjadi pembakar semangat kepada skuad kendalian Williams itu untuk terus memenangi perlawanan seterusnya. 

"Kita tidak boleh hanya lega dengan keputusan seri kerana kita ada sasaran iaitu Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan