Penyokong P.Pinang Cetus Kekecohan Tewas Kepada Sarawak - Bola Sepak | mStar

Penyokong P.Pinang Cetus Kekecohan Tewas Kepada Sarawak

Diterbitkan: Ahad, 12 Februari 2017 3:11 PM

(Ubah saiz teks)

BATU KAWAN: Kekalahan pasukan Pulau Pinang pada aksiLiga Super menentang Sarawak Sabtu malam menimbulkan kekecohan di Stadium Negeri Batu Kawan.

Kekecohan dikatakan tercetus apabila penyokong fanatik skuad Harimau Kumbang merusuh di luar stadium selepas perlawanan tamat.

Sebelum itu ketika di dalam stadium sejurus perlawanan tamat, mereka turut menjerit kerana tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan. 

Mereka kemudian berkumpul di luar stadium selepas pasukan Rela dan anggota polis tidak membenarkan mereka berada di perkarangan stadium, sambil bertempik kerana tidak puas hati terhadap Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).

Mereka turut membaling botol air mineral dan mercun ke arah pasukan Rela dan anggota polis yang berkawal di hadapan pintu masuk stadium.

Tindakan agresif penyokong pasukan itu menyebabkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan mereka.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan DSP Shamsuddin Mamat yang turut berada di stadium, berkata keadaan terkawal dan kesemua mereka telah diarahkan untuk bersurai.

Beliau berkata setakat ini, tidak ada tangkapan dilakukan.

Pada aksi tersebut, Pulau Pinang tewas 0-1 kepada Sarawak, iaitu kekalahan keempat berturut-turut skuad Harimau Kumbang dalam empat aksi liga, setakat ini. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Kecoh , penyokong pulau pinang
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan