Annuar Musa Ada Hak Tanding Presiden FAM - Khairy - Bola Sepak | mStar

Annuar Musa Ada Hak Tanding Presiden FAM - Khairy

Diterbitkan: Sabtu, 4 Februari 2017 9:41 PM

Annuar Musa.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa ada hak bertanding kerusi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) walaupun sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang juga antara calon untuk jawatan itu, berkata dirinya tidak mempunyai hak memberitahu Annuar bahawa beliau tidak boleh bertanding.

"Saya tidak ada hak menyatakan beliau tidak boleh bertanding. Saya harap siasatan SPRM akan selesai sebelum Kongres FAM pada Mac," katanya dalam sidang media selepas dialog terbuka dengan pelajar mengenai Transformasi Nasional (TN50).

Kongres FAM akan diadakan pada 25 Mac nanti dan senarai akhir calon akan dibentangkan kepada Exco FAM pada 20 Februari bagi menentukan calon yang layak bertanding pada kongres bagi memilih barisan kepemimpinan untuk penggal 2017-2021.

Setakat ini, terdapat empat nama yang dicalonkan untuk kerusi presiden termasuk Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan bekas Presiden Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat.

Annuar, ketika ini digantung daripada jawatannya sebagai Pengerusi Mara dan Pelaburan Mara Bhd (PMB), selepas mesyuarat khas Ahli Majlis Mara Selasa lepas.

Keputusan itu diambil bagi membolehkan audit dalaman Mara menyiasat beberapa perkara termasuk penajaan PMB dan UniKL untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors.

Susulan itu, SPRM pada hari sama mengesahkan telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa terhadap Annuar.

Khairy juga berkata, beliau akan menemui mereka yang mencalonkannya untuk merebut kerusi Presiden FAM dalam masa terdekat.

"Saya akan menemui mereka dan bertanya alasan dalam mencalonkan saya," katanya. - Bernama

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan