Irfan Bakti Sudah Ada Bayangan Barisan Utama

Diterbitkan: Ahad, 15 Januari 2017 4:48 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA NERUS: Seminggu sebelum saingan bola sepak Liga Perdana bermula, jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim sudah mempunyai gambaran awal kesebelasan utamanya.

Ketika ini, fokus utama Irfan Bakti adalah menilai keserasian antara pemain walaupun mengakui terlalu awal untuk memperoleh rentak antara pemain import dan pemain tempatan.

"Fokus kita untuk satukan pemain bagi mencari keserasian antara mereka dan menerusi barisan utama itu akan menguji serta melihat sejauh mana kebolehan pasukan," katanya kepada pemberita di sini. 

Pada masa sama, Irfan Bakti berkata kehadiran pemain import dari Brazil, Lazaro Vinicius mampu memperkuatkan lagi barisan pertahanan skuad Penyu dan percaya sasaran untuk meletakkan pasukan itu kembali ke Liga Super, mampu dicapai.

Sementara itu, dalam perlawanan amal di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, malam tadi, pasukan Terengganu terpaksa berpuas hati dengan kedudukan 2-2 ketika menentang naib juara Liga Singapura, Tampines Rovers. 

Gol Terengganu dijaringkan Frederico Falcone dan Lutfula Turaev manakala pasukan lawan mendapatkan jaringan hasil sumbangan Irwan Shah dan Ryutaro Megumi.

Perlawanan itu berjaya mengutip RM30,000 menerusi jualan tiket yang akan disumbangkan kepada Tabung Rohingya, Yayasan Diraja Sultan Mizan, Tabung Amanah Anak Yatim Terengganu, Tabung Darul Iman dan Tabung Bantuan Banjir.  -Bernama

Tags / Kata Kunci: Irfan Bakti , Terengganu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan