FAM Tak Berhutang, Tapi Kafa Hutang FAM, FMLLP Cecah RM430,000 - Hamidin

Diterbitkan: Khamis, 12 Januari 2017 3:59 PM

Hamidin Mohd Amin.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan Tan Sri Annuar Musa bahawa badan induk itu masih berhutang hampir RM2 juta kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).

Sebaliknya, pemeriksaan FAM mendapati Kafa yang masih berhutang sebanyak RM430,000 dengan badan induk itu dan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

Mengulas lanjut, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, badan induk itu sudah mengkreditkan semua hadiah wang kemenangan Liga Super dan Liga Premier untuk musim 2016 kepada pasukan-pasukan yang berkenaan membabitkan jumlah keseluruhan RM2.025 juta pada 30 Disember lalu.

Pada masa sama, katanya, istilah geran tahunan kepada setiap pasukan sudah tidak diguna pakai lagi bermula dari musim 2016 apabila Liga Malaysia diswastakan.

"Pasukan-pasukan telah diberi hak sebagai rakan kongsi liga dan mendapat sejumlah peratusan daripada pendapatan hak-hak penyiaran dan komersial iaitu sebanyak 40 peratus di atas penyertaan dalam liga," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menurut Hamidin, bagi musim 2016, sekitar RM41 juta telah diterima daripada hak-hak siaran serta komersial dan 40 peratus daripadanya perlu diberikan kepada pasukan-pasukan iaitu sekitar RM16.4 juta.

Beliau berkata, semua pasukan sudah diberikan sejumlah RM18 juta iaitu RM1 juta bagi setiap pasukan Liga Super (12 pasukan) dan RM500,000 bagi setiap pasukan Liga Premier (12 pasukan) serta tambahan RM2.025 juta untuk hadiah kemenangan.

"Memandangkan jumlah peruntukan agihan hak-hak penyiaran dan komersial untuk pasukan-pasukan hanyalah sebanyak RM16.4 juta sedangkan jumlah sebenar yang telah diberikan kepada mereka adalah sebanyak RM20.025 juta, maka FAM mendahulukan pembayaran sebanyak RM3.625 juta kepada pasukan-pasukan bagi pihak FMLLP," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, pemberian agihan tambahan hak-hak penyiaran dan komersial berdasarkan merit mengikut kedudukan dalam liga seperti diamalkan sebelum ini (sehingga musim 2014) tidak dapat diteruskan memandangkan jumlah perolehan daripada hak-hak siaran serta komersial hanya mencecah RM41 juta, bukannya RM70 juta seperti yang disasarkan.

"Pemberian agihan tambahan hak-hak penyiaran dan komersial berdasarkan merit ini boleh dilaksanakan semula pada masa akan datang jika jumlah RM70 juta itu berjaya diperolehi," katanya.

Beliau berkata, agihan hak-hak penyiaran dan komersial kepada pasukan-pasukan Liga Super bermula musim 2016 telah meningkat sebanyak 100 peratus berbanding nilai geran tahunan yang diberikan FAM sebelum ini iaitu dari jumlah RM500,000 ke RM1 juta, manakala kenaikan kira-kira 67 peratus dari RM300,000 ke RM500,000 bagi pasukan Liga Premier.

"Bagi agihan hak-hak penyiaran dan komersial kepada pasukan-pasukan bertanding untuk musim 2017, Jawatankuasa Eksekutif FAM pada mesyuarat sebelum ini telah bersetuju supaya 50 peratus pertama (RM500,000 bagi pasukan Liga Super dan RM250,000 bagi pasukan Liga Premier) akan dibayar pada Januari 2017, manakala baki 50 peratus lagi akan diselesaikan ketika saingan liga berlangsung," katanya.

Mengulas mengenai wang perolehan daripada siaran langsung perlawanan Liga Super dan Liga Premier di televisyen kepada pasukan tuan rumah dan pasukan pelawat, Hamidin berkata, amalan berkenaan sudah dihentikan bermula musim 2015 selepas berakhirnya penajaan daripada Astro, seperti semua pasukan bertanding sedia maklum.

Sehubungan itu, jelas beliau, hasil semakan mengenai perkara itu, FAM mendapati Kafa sebenarnya yang berhutang kira-kira RM430,000 dengan badan induk tersebut dan FMLLP.

Beliau berkata jumlah hutang Kafa kepada FAM dan FMLLP itu merangkumi gaji tertunggak pemain import Kelantan yang telah diselesaikan badan induk ini pada 2016.

"Ini selepas permohonan dibuat sendiri oleh Kafa untuk meminta bantuan FAM mendahulukan wang berkenaan, denda-denda kes tatatertib serta hutang levi tiket yang masih belum dijelaskan Kafa kepada FMLLP," katanya.

Hamidin berkata berdasarkan penjelasan tersebut, Kafa hanya akan mendapat kira-kira RM70,000 daripada RM500,000 bayaran pendahuluan pertama agihan hak-hak penyiaran dan komersial yang sepatutnya diterima setelah ditolak hutang dengan FAM dan FMLLP sebanyak RM430,000.

"Justeru FAM menganggap dakwaan tanpa asas seumpama ini tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Pada Isnin, Annuar mendakwa FAM masih berhutang kira-kira RM2 juta dengan KAFA yang merangkumi hadiah kemenangan tempat keempat Liga Super, hak penyiaran dan geran tahunan.

Katanya, sekiranya jumlah itu dapat dilangsaikan FAM, gaji pemain serta pegawai mampu dilunaskan sebelum sepak mula Liga Malaysia yang bakal bermula pada 20 Januari ini.


Tags / Kata Kunci: FAM , Annuar Musa , Hamidin Mohd Amin

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan