Alli Jadi Wira, Spurs Akhiri Rekod Tanpa Kalah Chelsea

Diterbitkan: Khamis, 5 Januari 2017 7:32 AM

Gary Cahill (kiri) mengucapkan tahniah kepada Dele Alli selepas tamat perlawanan. -fotoAP

(Ubah saiz teks)

TOTTENHAM Hotspur berjaya mengakhiri rekod 13 kemenangan berturut-turut Chelsea dalam perlawanan di White Hart Lane, awal pagi Khamis.

Kemenangan berpihak kepada Spurs, berkat jaringan dua gol yang disumbangkan oleh Dele Alli, manakala Chelsea harus akur pulang dengan tangan kosong.

Walaupun kalah, The Blues masih menguasai takhta liga, tetapi hanya berbeza lima mata dengan Liverpool (44 mata) di tempat kedua.

Tambahan tiga mata membuatkan Spurs berada di posisi ketiga dengan 42 mata, berbeza dua mata dengan Liverpool dan tujuh mata dengan Chelsea.

Bertandang ke White Hart Lane, The Blues  tidak banyak melakukan penggantian pemain.

Nemanja Matic masuk menggantikan Cesc Fabregas, sementara Willian kembali dicadangkan memandangkan Diego Costa telah kembali bermain.

Dari segi peluang, Chelsea sebenarnya memiliki sejumlah peluang untuk menerobosi gawang Spurs.

Mimpi buruk Chelsea bermula apabila Alli membuka kemenangan pada masa kecederaan babak pertama.

Gol Alli hadir apabila dia memanfaatkan umpan Christian Eriksen.

Gol kedua Alli juga hampir serupa apabila dia sekali lagi mengguna kesempatan daripada assist Eriksen pada minit ke-54.

Dengan dua gol ini, Alli menambah koleksi gol kepada 10 dalam penampilannya di Liga Perdana Inggeris musim ini.

Sementara itu, pemain Chelsea, Gary Cahill menganggap Spurs layak meraih kemenangan.

“Penampilan kami tidak baik hari ini, di semua bahagian. Saya tidak tahu kenapa. Kami bukan robot,” kata Cahill memetik Sky Sports.

“Kami ada peluang yang baik, tapi satu kekalahan dari 14 perlawanan bukanlah satu masalah. Kami tidak akan memikirkan tentang kekalahan ini selama seminggu, kami akan bangkit,” sambungnya.

Kekalahan ini meranapkan impian Chelsea menjadi pasukan pertama yang meraih 14 kemenangan berturut-turut dalam liga ini.

Sebelum ini Chelsea menyamai rekod kemenangan berturut-turut yang dipegang Arsenal dengan 13 kemenangan yang diraih pada musim 2001/2002.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan