Swansea Lantik Pengurus Baharu - Bola Sepak | mStar

Swansea Lantik Pengurus Baharu

Diterbitkan: Rabu, 4 Januari 2017 1:13 PM

(Ubah saiz teks)

SWANSEA CITY menamakan Paul Clement sebagai pengurus ketiga yang mengambil-alih kelab itu sepanjang musim ini susulan pemecatan Bob Bradley baru-baru ini.

Clement berkhidmat sebagai pembantu pengurus Carlo Ancelotti di Bayern Munich dan Swansea mengambil keputusan untuk melantik jurulatih berusia 44 tahun itu sebagai pengurus baharu dengan mengikat kontrak selama dua tahun setengah.

Mengulas tentang pelantikan tersebut, pengerusi Swansea, Huw Jenkins berkata, pihak kelab gembira dengan kehadiran Paul Clement sebagai ketua jurulatih baharu.

"Clement bukan sahaja berkhidmat untuk beberapa kelab ternama di Eropah tetapi melatih pemain terbaik dunia.

"Kekuatan Swansea sejak sekian lama bergantung kepada kualiti pengurus untuk melaksanakan latihan dan ia menjadi kunci kejayaan kelab ini.

"Saya yakin dengan kemampuan Clement untuk memulihkan kualiti bola sepak Swansea dan mengembalikan maruah kelab ini," katanya.

Awal musim ini, Swansea dikemudi oleh pengurus kelahiran Itali, Francesco Guidolin sebelum dipecat pada 3 oktober lalu ekoran prestasi yang kurang memberangsangkan.

Kemudian pengganti Guidolin, Bradley dipecat selepas 85 hari membimbing kelab tersebut yang kini menghuni tangga ke-19 liga dengan mengutip 15 mata selepas 20 perlawanan.

Swansea hanya mencatat empat kemenangan dan tiga seri sepanjang musim ini, sekali gus berdepan risiko disingkirkan ke liga bawahan jika gagal memulihkan reputasi.

Tags / Kata Kunci: Swansea City , Paul Clement
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan