Letak Jawatan Atau Ingkar Perintah Raja Muda - Penyokong Selangor

Diterbitkan: Selasa, 27 Disember 2016 3:09 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sekumpulan penyokong dari Gabungan Kelab Penyokong Selangor (Gabungan) mengadakan bantahan secara aman untuk mendesak peletakan jawatan exco Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) susulan kegagalan menyelesaikan masalah dalam persatuan itu.

Bantahan itu diadakan di luar ibu pejabat FAS di Kelana Jaya pukul 11 pagi untuk menggesa exco menuruti nasihat Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah agar meletak jawatan.

"Kami mendesak exco FAS agar menyahut gesaan Tengku Amir agar membubarkan exco," kata Timbalan Presiden Gabungan, Asrul Neezam Adnan pada sidang media di sini, Selasa.

Menurut Asrul Neezam, kumpulan penyokong tidak mahu lagi mendengar sebarang alasan sedangkan ahli exco bersenang-lenang memegang jawatan masing-masing.

"Liga akan bermula, mereka (exco) perlu berkerja dengan pantas.

"Kami berharap mereka tidak akan meminta penyokong agar terus bersabar.

"Kami sudah muak dengan situasi ini," katanya.

Sebagai penyokong tegar Red Giants, beliau berkata, penyokong mempunyai hak untuk bersuara supaya barisan exco menyelesaikan kemelut persatuan itu dengan segera.

FAS dipimpin oleh Presiden Datuk Seri Azmin Ali yang juga merupakan Menteri Besar Selangor.

Difahamkan Azmin mengelak bertemu dengan jawatankuasa eksekutif FAS dan enggan menyalurkan dana kepada juara Piala Malaysia 33 kali itu bagi persiapan Liga Malaysia musim depan.

Azmin memaklumkan kepada exco agar mencari dana sendiri bagi menampung perbelanjaan persatuan itu.

Konflik berkenaan menyebabkan beberapa pemain utama selangor termasuk penyerang berbisa, Ahmad Hazwan Bakri dan kapten pasukan, Mohd Sharom Kalam mengangkat kaki berpindah ke pasukan lain.

Sementara itu, Asrul Neezam berkata, penyokong kini bergantung kepada kepimpinan FAS yang sedia ada untuk menyelesaikan kemelut tersebut.

"Jika mereka masih memegang jawatan masing-masing, bola sepak Selangor akan kekal lumpuh.

"Tiada peningkatan akan dilihat pada setiap tahun kerana mereka hanya tahu menyebarkan propaganda," katanya.

Selain itu, beliau berkata, Tengku Amir sepatutnya menjadi Presiden FAS dan Raja Muda Selangor tersebut akan membawa perubahan kepada bola sepak negeri.

"Tengku Amir sendiri telah memberi mandat untuk barisan exco FAS meletak jawatan.

"Di situ, kita dapat lihat bagaimana Tengku Amir menyayangi bola sepak Selangor," katanya.

Selain itu, wakil Gabungan, Adzman Kamaruddin berkata, Tengku Amir juga sudah memberikan mandat kepada Azmin untuk melakukan rombakan dalam persatuan bola sepak itu.

Jelasnya, barisan exco yang enggan meletak jawatan sama seperti mengingkari perintah Raja Mudah Selangor.

"Keengganan mereka meletak jawatan merupakan petanda ingkar dan penghinaan terhadap institusi diraja Selangor.

"Saya berharap mereka akan meletak jawatan dengan segera agar memberi peluang kepada muka baharu mengambil-alih FAS dan membawa bola sepak Selangor ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan