AFDC2016: Thailand Bangkit Tewaskan Harimau Malaysia

Diterbitkan: Jumaat, 9 Disember 2016 8:25 PM

Skuad Harimau Malaysia terpaksa berpuas hati apabila sekadar menduduki tempat kedua Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Asean 2016 (ADFC 2016).

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hasrat skuad Harimau Malaysia untuk muncul juara edisi sulung Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Asean 2016 (ADFC 2016) tidak kesampaian apabila tewas 1-3 di tangan Thailand.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Mindef di sini pada Jumaat, Malaysia terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti oleh kapten pasukan, Muhammad Rahmatuddim Mohd Huzaizi seawal minit pertama.

Namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Thailand bangkit mengikat perlawanan menerusi jaringan  Chiraphan Sirithongsawang pada minit ke-19.

Sirithongsawang sekali lagi menjadi pemusnah buat Harimau Malaysia apabila menjaringkan gol kedua selang 10 minit kemudian menjadikan kedudukan 2-1.

Sebelum wisel separuh masa pertama ditiup, Thailand sekali lagi menghukum barisan pertahanan Malaysia menerusi gol ketiga yang disumbangkan oleh Danai Mungoomklang.



Malaysia cuba bangkit pada babak kedua dengan lebih banyak serangan berbahaya tetapi kekebalan barisan pertahanan selain kecekapan penjaga gol Thailand menafikan peluang Harimau Malaysia.

Keputusan 1-3 kekal sehingga tamat perlawanan.

Sementara itu, kapten pasukan dan penjaring gol tunggal negara, Rahmatuddim berkata, masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki oleh pasukannya untuk melakar kejayaan yang lebih baik.

"Sebenarnya kita boleh menang pada perlawaba ini tetapi beberapa perancangan tidak menjadi selain kemahiran kami masih lagi belum mantap.

"Saya harap pada masa akan datang kita akan terus maju dan kita terima keputusan pada hari ini dengan hati terbuka," katanya.

Malah beliau berharap pasukannya akan meningkatkan usaha untuk merangkul kejohanan itu pada masa akan datang.

Sebagai rekod, Malaysia menang dua perlawanan dalam aksi peringkat kumpulan dengan menewaskan Vietnam 4-0 dan membelasah Myanmar 10-0 sebelum mara ke separuh akhir untuk menumpaskan Indonesia 10-1.

AFDC 2016 diadakan buat kali pertama di benua Asia Tenggara melibatkan tujuh pasukan iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia, Laos, Vietnam, Kemboja dan Myanmar.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan