FAM Patut Taja Faiz Subri Ke Zurich - Takiyuddin

Diterbitkan: Jumaat, 9 Disember 2016 4:00 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Takiyuddin Hassan mencadangkan agar kos perbelanjaan perjalanan Mohd Faiz Subri dan keluarga ke majlis Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2016  di Zurich, Switzerland, Januari depan ditaja persatuan itu.

Menurut Takiyuddin, pencapaian terbaik ini umpama 'sekali dalam seribu tahun' dan ia sepatutnya dibiayai FAM kerana pencapaian Faiz telah membanggakan negara.

"Pada pendapat saya, pihak FAM wajar menanggung kos Faiz untuk ke majlis itu.

"Apa pun terpulang kepada kepimpinan FAM sama ada bersetuju untuk menaja pemain itu atau tidak," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Pemain Harimau Kumbang itu tersenarai antara tiga calon akhir bagi Anugerah Puskas Fifa 2016 menerusi gol hasil sepakan percuma knuckleball yang dilakukannya ketika Pulau Pinang menentang Pahang pada Februari lalu.

Sebelum ini, Faiz menerima sumbangan RM15,000 daripada penaung Kelab JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas pencapaian terbaik itu.

Anugerah Puskas diperkenalkan Fifa pada 2009 bagi mengiktiraf pemain yang menjaringkan gol paling cantik.

Keputusan tiga terbaik itu diumumkan di laman rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) www.fifa.com, minggu lalu.

Pengumuman finalis tersebut turut menyaksikan Faiz Subri berjaya mengetepikan calon-calon bintang bola sepak lain pada pusingan awal termasuk Lionel Messi dan juga Neymar.

Pemenang bagi anugerah itu bakal meletakkan nama Faiz Subri dalam senarai lagenda bola sepak dunia bagi kategori jaringan terbaik tahun terdahulu bersama Ronaldo, Hamit Altintop, Miroslav Stoch dan Zlatan Ibrahimovic.

Tags / Kata Kunci: Faiz Subri , Lionel Messi , Neymar , Fifa2016

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan