Kemelut FAS Semakin Meruncing, Bakal Hilang Penaja, PKNS FC

Diterbitkan: Rabu, 7 Disember 2016 11:14 PM

Rosman Ibrahim

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Kemelut bola sepak Selangor semakin meruncing apabila persatuan bola sepak negeri itu "diabaikan" oleh kerajaan negeri selain bakal "kehilangan" sekutu pasukan berkenaan, PKNS FC yang banyak menyumbang pembangunan bola sepak negeri tersebut.

Kurang sebulan sebelum sepak mula Liga Super bermula, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dilihat bakal berdepan masalah untuk mendapatkan dana bagi menghadapi musim baharu apabila Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilapor tidak akan memberi peruntukan pada musim depan.

Malah sikap berdiam diri Menteri Besar Selangor itu juga membuatkan FAS terpaksa mengatur persiapan secara bersendirian mencara dana bagi menghadapi cabaran musim baharu.

Malah menurut Setiausaha FAS, Rosman Ibrahim, Azmin Ali gagal menghadirkan diri dalam beberapa pertemuan dengan exco persatuan sebelum ini.

"Mungkin beliau sibuk. Kita tidak tahu secara rasmi daripada presiden, termasuk dilarang menggunakan Stadium Shah Alam. Hanya tahu daripada akhbar.

"Namun tiada apa yang boleh dilakukan, kita perlu move on (lupakan). Jika kita sedia maklum perkara ini lebih awal sekurang-kurangnya pada bulan Julai, mungkin kita boleh ikhtiarkan sesuatu.

"Memang agak sukar, tetapi kita perlu hadapinya. Dan kami adakan pertemuan dengan exco dan pemain-pemain Sabtu ini bagi membincangkan hala tuju pasukan untuk musim depan," katanya kepada media.

Tidak setakat itu, FAS juga bakal kehilangan sekutu rapatnya, PKNS FC yang mengambil keputusan untuk dengan Persatuan Bola Sepak Melayu Selangor (PBsMS) berkuatkuasa 6 Disember 2016.

Keputusan itu diumumkan oleh Presiden PKNS FC, Siti Zubaidah Abu Jabar menerusi satu kenyataan bahawa langkah tersebut diambil sebagai menjamin masa depan skuad The Ants dalam Liga Malaysia bagi musim 2017.

"Menerusi kerjasama dan persepakatan baru ini, PKNS FC mendapati PBSMS turut berkongsi aspirasi yang sama dan mempunyai komitmen yang tinggi terhadap pembangunan sukan bola sepak negeri Selangor.

"PKNS FC tiada hasrat untuk menimbulkan sebarang polemik baru dalam isu penyertaan ke Liga Malaysia 2017," ujarnya.

Namun Pengarah Operasi PKNS FC, Faisal Zakaria berkata, pihaknya telah menghantar semula penyertaan kelab itu untuk menyertai Liga Malaysia kepada Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dan mungkin tiada masalah untuk mendapat kelulusan.

Sebelum ini, FAS mengemukan bantahan kepada FMLLP terhadap PKNS FC untuk menyertai Liga Super kerana didakwa membelakangi persatuan tersebut.

Mengulas tentang penggabungan dengan PBSMS, Faisal berkata, keputusan itu dibuat kerana masa pendaftaran (Liga Malaysia) semakin suntuk.

Malah ujarnya, langkah itu tidak bermakna PKNS FC sudah berpisah dengan FAS walaupun pihak persatuan tersebut masih belum dimaklumkan tentang perkara berkenaan.

"Kami belum berpisah lagi. Biar undang-undang menentukan semuanya.

"Kita belum menghantar apa-apa surat kepada FAS mengenai perkara ini, tetapi secara tidak formal mereka sudah tahu.

"Kami tidak ada apa-apa masalah dengan FAS, dan mungkin mereka ada masalah dalaman sendiri," katanya.

Sementara itu, Rosman berkata, FAS terpaksa akur sekiranya PKNS FC mahu mengambil keputusan untuk keluar daripada persatuan tersebut.

"Terpulang kepada mereka untuk menerima PKNS. Kami tidak boleh paksa kalau mereka mahu keluar.

"Dan terpulang juga kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk meluluskan permohonan mereka ke PBSMS.

"Memang satu kerugian, tetapi inilah keadaan sekarang," ujarnya.

Tags / Kata Kunci: FAS , PKNS FC

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan