FAM Ucap Tahniah Kepada Faiz

Diterbitkan: Sabtu, 3 Disember 2016 7:32 AM

Hamidin Mohd Amin.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengucapkan tahniah kepada pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri kerana muncul antara tiga calon utama bagi Anugerah Puskas FIFA 2016 dengan jaringan ajaibnya.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengucapkan terima kasih kepada pemain itu kerana mengharumkan nama negara di persada antarabangsa selepas muncul pendahulu dalam senarai undian pusingan pertama yang berakhir malam Jumaat.

"Bagi pihak FAM, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Mohd Faiz kerana dipilih antara tiga finalis anugerah tersebut. Saya harap semua rakyat Malaysia akan terus mengundi untuk beliau merangkul anugerah itu,' katanya.

Mengenai kemungkinan FAM memberi ganjaran, Hamidin berkata: "FAM akan memutuskannya kemudian bagi menghargai kejayaan itu.

"Beliau turut menyatakan pegawai FAM akan mengiringi Mohd Faiz untuk majlis anugerah itu yang akan diadakan sempena Anugerah Bola Sepak FIFA di Zurich, Switzerland, 9 Januari depan.

Selain Mohd Faiz, dua lagi finalis ialah Johnath Marlone, pemain kelab Corinthians dari Brazil dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela.

Selepas undian pusingan ditutup pada Jumaat, tiga finalis itu akan melalui proses undian kedua sehingga tarikh tutup pada hari anugerah itu di Zurich, 9 Januari nanti.

Sementara itu, pengurus baharu skuad 'Black Panthers', Zairil Khir Johari berkata kejayaan Mohd Faiz adalah hasil sokongan semua rakyat Malaysia dan peminat bola sepak dari seluruh dunia yang kagum dengan jaringan itu.

"Kami harap semua rakyat Malaysia terus menyokong dan mengundi Mohd Faiz kerana beliau telah melakar sejarah sebagai orang pertama di Malaysia dan juga dari rantau ini dinamakan sebagai calon untuk anugerah itu," katanya.

Beliau berkata Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) juga berharap pencapaian Mohd Faiz itu akan menjadi motivasi untuk semua pemain remaja dan profesional.

"Menang atau kalah di Zurich tidak kisah kerana di mata persatuan dan seluruh rakyat Malaysia, Mohd Faiz adalah juara dalam hati kita," katanya sambil menambah FAP sedang membincang ganjaran untuk pemain tersebut.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa turut memuji pencapaian Mohd Faiz.

"Bagi jaringan ajaibnya disenarai pendekkan antara tiga calon Anugerah Puskas semenangnya pencapaian bersejarah khusus bagi Mohd Faiz dan bola sepak negara amnya.

"Kewartawan sukan negara bangga dengan beliau dan saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia untuk terus menyatakan sokongan dengan mengundi Mohd Faiz pada pada pusingan kedua bagi memastikan beliau dapat membawa pulang anugerah itu ke tanahair," katanya. - BERNAMA


Tags / Kata Kunci: FAM , Mohd Faiz Subri

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan