Aksi Persahabatan: Tiket Percuma Perlawanan Malaysia-New Guinea

Diterbitkan: Selasa, 8 November 2016 3:09 PM

Latihan skuad Harimau Malaysia. Foto: Bernama

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Tiada bayaran tiket akan dikenakan kepada peminat bola sepak negara bagi menyaksikan perlawanan persahabatan antarabangsa 'A' antara Malaysia menentang Papua New Guinea di Stadium Shah Alam pada Isnin ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan media berkata keputusan berkenaan dibuat sebagai menghargai sokongan penuh penyokong Harimau Malaysia yang tetap hadir ke stadium setiap kali perlawanan membabitkan skuad itu sepanjang tahun ini biarpun dikenakan bayaran tiket sebelum ini.

Mengikut ketetapan, tiket bagi perlawanan persahabatan antarabangsa A membabitkan skuad kebangsaan adalah berharga RM30 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah.

"Sebagai penghargaan kepada para penyokong untuk tahun 2016 dan pada masa sama perlawanan menentang Papua New Guinea ini juga adalah perlawanan terakhir skuad Harimau Malaysia sebelum beraksi pada Piala Suzuki AFF 2016, pihak FAM telah bersetuju untuk para penyokong masuk percuma ke perlawanan pada Isnin ini," katanya.

Perlawanan menentang Papua New Guinea itu merupakan perlawanan kelima dilaman sendiri buat skuad Harimau Malaysia musim ini selepas aksi persahabatan bertemu Macau di Stadium Hang Jebat, Melaka pada Mac; dua aksi play-off Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Timor-Leste di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos, Larkin pada 2 dan 6 Jun serta aksi persahabatan bertemu Afghanistan di Stadium Shah Alam pada 11 Oktober.

Ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee berharap para penyokong dapat menggunakan peluang masuk percuma ini dengan sebaiknya untuk mereka sama-sama hadir membanjiri stadium.

"Sudah tentu sebagai jurulatih, saya mahu melihat stadium kita dibanjiri para penyokong setiap kali kita beraksi di gelanggang sendiri kerana ia secara tidak langsung akan memberi semangat tambahan kepada para pemain bagi mereka memperagakan aksi terbaik pada perlawanan berkenaan," kata Kim Swee. 

Perlawanan menentang Papua New Guinea ditetapkan bermula pada pukul 3 petang bagi membolehkan skuad Harimau Malaysia menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca panas memandangkan dua perlawanan awal Kumpulan B, Piala Suzuki AFF 2016 bertemu Kemboja pada 20 November dan Vietnam pada 23 November di Yangon akan berlangsung pada pukul 3 petang.

Tags / Kata Kunci: Harimau Malaysia

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan