United Belasah Fenerbahce 4-1, Pogba Sumbat Dua Gol

Diterbitkan: Jumaat, 21 Oktober 2016 7:44 AM

Paul Pogba

(Ubah saiz teks)

MANCHESTER UNITED tidak berdepan masalah besar untuk menjinakkan Fenerbahce dalam saingan Liga Eropah pada awal pagi Jumaat apabila mencatat kemenangan bergaya 4-1.

Dalam tempoh 45 minit pertama sahaja, United sudah mendahului 3-0 hasil dua jaringan Paul Pogba dan Anthony Martial.

Perlawanan bermula dengan rentak perlahan daripada kedua-dua pasukan sehingga minit ke-32 apabila Juan Mata dikasari oleh pemain pertahanan Fenerbahce dalam kotak penalti, sekali gus tidak memberi pilihan kepada pengadil selain menghadiahkan sepakan penalti.

Paul Pogba yang mendapat kepercayaan Jose Mourinho untuk melaksanakan tugas tersebut, mudah menyumbat masuk gol, sekali gus meletakkan United di hadapan dengan 1-0.

Derita Fenerbahce bertambah selang dua minit kemudian apabila sekali lagi pengadil memberikan sepakan penalti apabila Martial dikasari.

Kali ini, pemain muda Perancis itu menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Sebelum tamat separuh masa pertama, Pogba sekali lagi mempamerkan kehebatannya apabila menjaringkan gol ketiga buat United menerusi percubaan luar kotak penalti.

Memasuki babak kedua, United menambah pungutan gol menerusi tendangan jarak jauh Jesse Lingard pada minit ke-48.

United kembali memiliki kesempatan untuk menambah gol pada minit ke-55, tetapi Rooney yang memiliki bola di depan gawang gagal memanfaatkan peluang.

Pada minit ke-74 Paul Pogba dikeluarkan oleh Jose Mourinho dan digantikan oleh Tim Fosu-Mensah yang baru saja menandatangani kontrak lanjutan bersama kelab itu.

Pada minit ke-83 Fenerbahce mendapat gol sagu hati melalui bekas bintang Red Devils, Robin van Persie.

United kini mengungguli carta kumpulan A Liga Eropah dengan mengumpul enam mata selepas tiga perlawanan.

Tags / Kata Kunci: Liga Europa , Paul Pogba

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan