Irfan Bakti Minat Bimbing Terengganu - Bola Sepak | mStar

Irfan Bakti Minat Bimbing Terengganu

Diterbitkan: Selasa, 18 Oktober 2016 4:25 PM

Irfan Bakti

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Bekas jurulatiah FELDA United, Irfan Bakti Abu Salim berkata beliau amat berminat dengan pelawaan Terengganu untuk melantiknya sebagai jurulatih skuad penyu itu pada kejohanan Piala Malaysia musim depan.

"Saya merupakan jurulatih bola sepak yang suka berhijrah. Di Terengganu, memang saya dan keluarga suka tinggal.

"Tengoklah dalam seminggu ini, mungkin keputusan dapat dicapai," katanya kepada pemberita selepas mengadakan rundingan awal dengan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) di sini pada Selasa.

Irfan Bakti bukan asing kepada peminat bola sepak Terengganu kerana beliau pernah melatih skuad Terengganu selama tiga musim mulai 1999 dan membawa Terengganu muncul naib juara Piala Malaysia pada 2011.

Sementara itu Menteri Besar yang juga Pemangku Presiden PBSNT, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata belum terdapat keputusan muktamad dibuat kerana rundingan antara kedua-dua belah pihak masih berjalan.

"Sehingga ini kita masih belum boleh memberi keputusan. Apabila semua sudah selesai, baru kita maklum terutama kepada peminat di negeri ini," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Irfan Bakti , Felda United , Terengganu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan