United Idam Griezmann, Bale Tuntut Gaji Seperti Ronaldo

Diterbitkan: Ahad, 16 Oktober 2016 10:19 AM

(Ubah saiz teks)

TEMPOH perpindahan pemain mungkin tertutup rapat, tetapi jangan anggap tiada risikan dan perbincangan berlaku ketika ini.

Berikut adalah antara tawaran dan rundingan yang sedang berlangsung melibatkan beberapa pasukan terkemuka seperti dilaporkan ESPN FC.

Manchester United kini sedang bersiap sedia untuk sekali lagi memecah rekod perpindahan pada musim panas akan datang dalam usaha untuk mendapatkan penyerang Atletico Madrid, Antoine Griezmann.

The Mirror mendakwa United membelanjakan £89.3 juta untuk Paul Pogba pada Ogos tetapi kini sedang merangka satu lagi perpindahan untuk menarik perhatian Griezmann.

Pemain antarabangsa Perancis berusia 25 tahun yang memenangi Kasut Emas pada Euro 2016 itu dikatakan telah maklum berhubung minat United untuk mendapatkan khidmatnya.

Sementara itu, Gareth Bale dikatakan akan meminta untuk gaji  £750,000 seminggu, jumlah sama diterima Cristiano Ronaldo jika mahu beliau menandatangani kontrak baharu selama enam tahun bersama Real Madrid, demikian lapor The Times.

Ketika ini, Bale menerima £525,000 seminggu sebelum potongan cukai, bagaimanapun pemain itu mahu kenaikan gaji supaya setanding rakan sepasukannya itu, sekali gus meletakkan pemain antarabangsa Wales itu memperoleh £20 juta setahun selepas cukai.

Bagi pasukan Liverpool yang kini mencatat jumlah jaringan tertinggi, pengendalinya Jurgen Klopp dikatakan mahu menambah 'sengat' dalam skuad itu apabila merancang tawaran sebanyak £19.5 juta kepada penyerang Torino, Andrea Belotti.

Belotti, 22 adalah pemain Itali yang terikat kontrak sehingga 2020. Klopp dikatakan tertarik dengan permainannya yang berjaya menyumbat lima gol dalam saingan Serie A musim ini.

Klopp semakin pantas merangka bidaannya ke atas Belotti kerana pemuda itu dikatakan turut menarik perhatian Arsenal.

Selain itu, The Sun mendakwa Paris Saint-Germain pula berminat mendapatkan pemain pertahanan Arsenal, Kristopher Da Graca apabila kontraknya tamat akhir musim panas depan.

Pemain berusia 18 tahun dari Sweden itu cuba menyertai skuad bawah 21 Gunners bagaimanapun nasib tidak menyebelahinya dan besar kemungkinan memilih bersama pasukan Perancis itu untuk membuka peluang bermain bersama pemain senior.


 
Tags / Kata Kunci: Antoine Griezmann , Garreth Bale , Arsenal

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan