Piala Malaysia: Khairul Helmi Tidak Rela Dikecewakan Lagi

Diterbitkan: Jumaat, 30 September 2016 8:59 AM

(Ubah saiz teks)

KETUA pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari tidak rela dikecewakan dalam aksi Piala Malaysia musim ini selepas skuadnya sekadar bergelar naib juara pada musim lalu.

Berikutan itu, pemain pertahanan tersebut dan rakan sepasukan sedia berusaha habis-habisan bagi memastikan kejayaan dapat dicapai dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Jumaat malam.

Kedah yang mempunyai kelebihan di laman sendiri dan diperkuatkan dengan 30,000 penyokong bakal menerima kunjungan skuad Sang Saka Biru di Stadium Darul Aman.

"Kekecewaan pada final musim lalu (tewas kepada Selangor) masih segar. Kami tidak rela lagi untuk kecewa pada tahun ini.

"Saya dan rakan-rakan akan berusaha mendapatkan yang terbaik untuk sekali lagi berada di final Piala Malaysia bagi menebus kembali kekecewaan musim lalu," katanya kepada mStar Online.

Khairul Helmi turut yakin keupayaan dan semangat yang ada pada rakan-rakannya mampu mencipta kemenangan walaupun menyedari lawan pada malam itu juga mempunyai rangkaian serangan yang baik.

"Keupayaan PDRM tidak boleh diperkecilkan kerana mereka juga mempunyai misi tersendiri. Tapi itu bukan alasan untuk kami tidak berusaha dan memastikan kejayaan dapat dicapai dalam perlawanan kali ini.

"Kehadiran Thiago Augusto dan Shane Smeltz berjaya memantapkan bahagian serangan dan jaringan 18 gol oleh kedua penyerang yang turut serta bersama kami sejak Jun lalu menjadi bukti kehebatan mereka.

"In Sha Allah, saya yakin kami mampu melakarkan kemenangan ke atas  PDRM dengan sokongan lebih 30,000 peminat setia. Sorakan padu oleh penyokong akan menyuntik semangat pemain untuk meningkatkan lagi prestasi demi kejayaan pasukan," jelasnya.

Khairul Helmi memberitahu, gandingan empat pemain import bersama tonggak muda merupakan adunan terbaik Ketua Jurulatih,Tan Cheng Hoe untuk memberi tekanan kepada lawan.

Menurutnya, aksi Syazwan Zainon, Amirul Hisyam Awang Kecil, Rizal Ghazali, Ariff Farhan dan Baddrol Bakhtiar serta penjaga gol muda Mohd Ifwat Akmal Che Kassim telah banyak memberi sumbangan dan mereka juga pasti dahagakan kemenangan.

"Kemenangan malam ini penting untuk kami mengharungi perlawanan kedua di Melaka selepas ini kerana ia akan memberi kelebihan.

"Namun, kita juga perlu pastikan lawan tidak mendapat kelebihan yang akan memunsahkan impian ke final Piala Malaysia," ujarnya.

 
Tags / Kata Kunci: Kedah , PDRM , Piala Malaysia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan