TMJ Calon Paling Layak Teraju FAM - Idris Haron

Diterbitkan: Rabu, 28 September 2016 11:05 PM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron mencadangkan agar Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil alih jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Jawatan nombor satu FAM itu akan menjadi kosong selepas Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tidak akan mempertahankan jawatan itu pada pemilihan anggota baharu FAM pada pertengahan tahun depan.

Idris, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United, berkata kejayaan TMJ dalam mengurus dan mentadbir pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) sehingga merangkul gelaran Liga Super sebanyak tiga musim berturut-turut, patut diberi perhatian sewajarnya.

TMJ merupakan calon paling layak menerajui FAM berdasarkan pencapaian yang telah dikecapi oleh baginda dalam mengurus tadbir kelab JDT, menyediakan prasarana dan pembangunan bola sepak, katanya kepada pemberita selepas mempengerusi mesyuarat exco negeri, di sini, Rabu.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, pihaknya akan memberi tiket percuma kepada penyokong menyaksikan perlawanan muktamad Liga Perdana antara Melaka United dengan Sime Darby di Stadium Hang Jebat di sini, pada pukul 9 malam, 22 Oktober ini.

"Saya menjangkakan lebih 30,000 penonton akan menyaksikan perlawanan itu di mana Melaka United akan dinobatkan sebagai juara Liga Perdana," katanya.

Tags / Kata Kunci: FAM , TMJ , Idris Haron , JDT

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan